Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
FFM31 fokus pengantarabangsaan filem Malaysia, kata Finas

Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) akan memperkasa penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) tahun depan agar ia seiring dengan perkembangan semasa.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata tidak ada keperluan untuk menjenamakan semula acara rasmi anjuran kerajaan itu kerana ia sudah menjadi satu acara nasional yang mencecah 40 tahun.

Pun begitu, Ahmad Idham, 46, berkata dia mengambil maklum seandainya timbul persoalan ke mana menghilangnya pengarah atau karya-karya yang pernah diangkat menerusi kategori terbaik acara itu sebelum ini.

“Bagi saya, jenama tak ada isu sebab diwujudkan lama, umum tahu ia acara rasmi kerajaan tapi Finas akan melihat semula kandungannya agar bersesuaian dengan tema dianjurkan setiap tahun selain peka situasi semasa.

“Pemain industri masih tercari-cari selepas menang nak pergi ke mana kerana tak ada kesinambungan, sebelum ni tak ada road map nyata di bawah modul pembangunan insan dalam industri kreatif. Saya juga pernah jadi pemenang dan pernah merasainya.

“Cuma ada bahagian menguar-uarkan tema festival filem lalu misalnya Filem Kita Wajah Kita, namun sekarang Finas mempunyai matlamat nyata berhubung perkara ni terutama selepas Jun lalu Menteri Saifuddin Abdullah mengutarakan Projek Oscar,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Idham yang juga seorang pengarah itu berkata demikian sebagai mengulas laporan "Sampai Masa Untuk Festival Filem Dijenamakan Semula" yang disiarkan Malaysiakini baru-baru ini.

Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia, Dr Mahadi J Murat antaranya mempertikaikan dalam tempoh empat dekad itu tidak ada karya-karya terbaik yang diangkat dalam acara festival filem berkenaan berjaya menembusi Oscar setakat ini. 

Untuk rekod, Finas menangguhkan penganjuran FFM31 berikutan penularan Covid-19.

Festival yang menghimpunkan penggiat seni dan pembikin filem itu sepatutnya dijadual bermula 9 April depan, dengan malam kemuncak di Encore Melaka pada 18 April.

Dijangka membabitkan diri buat pertama kali dalam penganjuran FFM31 selepas dua kali dilantik memegang kerusi CEO Finas, Ahmad Idham berkata, dia kini giat memperbanyakkan kerangka dan pelan jangka panjang yang bertindak sebagai paksi bagi menggerakkan ekonomi industri perfileman tanah air terutama melalui sudut Projek Oscar.

“Masih terlalu awal untuk saya mendedahkan hala tuju FFM31 sama ada mengenai pembaharuan, penukaran atau dan sebagainya. Justifikasi tersebut akan diumumkan tahun depan.

“Secara umum, paksi FFM31 memang di bawah aspirasi menteri dan Projek Oscar. Acara tu akan jadi salah satu komponen untuk Finas melihat sama ada program berkenaan sejajar atau tak dengan blue print Projek Oscar.

“Maknanya secara keseluruhan FFM31 tu nanti mengenai pengantarabangsaan filem-filem Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS