Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Terkejut - demikian luahan usahawan kosmetik Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida (DSV) apabila ditanya berhubung tuntutan hadhanah bersama anak-anak oleh bekas suami semalam.

Enggan mengulas secara terperinci, Hasmiza sebaliknya menyatakan kekesalannya terhadap Mohd Amin Yasin yang sepatutnya boleh menyelesaikan perkara itu dengan menghubunginya terlebih dulu sebelum membawa isu tersebut ke mahkamah.

“Saya sangat terkejut sebaik dimaklumkan mengenai berita tersebut hari ni. Dia (bekas suami) tak perlu bawa isu ni naik mahkamah.

“Apa-apa, boleh saja hubungi kami,” katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Amin, 42, yang juga seorang peniaga diwakili peguamnya, Mohd Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah memfailkan tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) bersama anak-anak di Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Pada prosiding berkenaan, Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty, menetapkan 25 Nov ini untuk sebutan semula kes terbabit.

Mahkamah tidak membuat sebarang keputusan semalam sehingga mendengar dan prosiding dihadiri kedua-dua belah pihak.

Mohd Amin

Mohd Amin berkahwin dengan Hasmiza pada tahun 2000 dan bercerai pada 2008. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan empat orang anak.

Namun, anak pertama dan kedua meninggal dunia dalam kejadian kebakaran rumah pada 3 Ogos 2013.

Mohd Amin mendakwa, kali terakhir dia bertemu dengan dua anaknya iaitu Nur Edlynn Zamilleen, 15 dan Eriq Zaquan, 13, ialah pada 2018.

Dia juga mendakwa, cubaan untuk menghubungi kedua-dua orang anaknya itu seolah-olah dihalang seseorang apabila individu terbabit memberikan pelbagai alasan hingga membuatnya berkecil hati. 

Ditanya berkenaan dakwaan tersebut, Hasmiza berkata, dia lebih rela mengunci mulut daripada mendedahkan perkara yang sebenar.

“Saya tak mahu komen, takut timbul isu lain pula. Lebih baik diam. Tapi, Malaysia will know, sooner or later (Malaysia akan tahu juga, lambat-laun)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS