Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sampai masa untuk festival filem dijenamakan semula - Mahadi

Perlukah Festival Filem Malaysia (FFM) dijenamakan semula?

Bagi Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia, Dr Mahadi J Murat, penjenamaan semula acara popular seperti FFM perlu agar seiring dengan peredaran zaman.

Tambahan pula ketika usia FFM itu mencecah 40 tahun.

Pengarah filem itu berkata, dalam tempoh empat dekad itu tidak ada karya-karya terbaik yang diangkat dalam FFM berjaya menembusi Oscar setakat ini.

“Tiga puluh kali festival diadakan, tentu FFM menghasilkan 30 filem terbaik, yang 'terangkat' dari bumi ni, yang sesetengahnya mungkin menjadi klasik atau dirujuk sebagai produk jenama Malaysia serta bernilai tinggi oleh khalayak, sarjana dan penganalisis filem sejagat.

“Tiga puluh kali festival juga, tentunya turut mengesahkan terdapat tiga puluh pengarah dan penulis skrip terbaik sebagai pencorak nilai filem nasional kita yang boleh dibanggakan masyarakat dan negara. Atau setidak-tidaknya separuh daripada tu.

"Di manakah gerangan mereka? Di manakah filem-filem itu? Sampai manakah sudah karyawan, seniman dan filem-filem terbaik tersebut berkelana membawa wajah dan budaya fikiran kita sebagai bangsa yang punya (atau tidak punya) kebanggaan?” katanya kepada Malaysiakini.

Mahadi, 64, menjelaskan penambahbaikan FFM dirasakan langkah bertepatan untuk dilakukan ketika ini memandangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sudah berada di bawah kepimpinan baru.

Perlu ada manual lengkap

“Finas kelihatan punyai visi baru, kesungguhan dan kapasiti untuk menjayakan matlamat pembangunan industri filem nasional Malaysia,” katanya.

Namun menurutnya, proses menjenamakan semula itu bukan bererti membuang yang lalu atau menggantikan yang lama dengan yang baru sepenuhnya.

“Sebaliknya ia bertujuan memperkemas atau memperkukuh kedudukan agar kekal relevan di tengah-tengah gelombang teknologi sinema, pemameran digital dan ruang lingkup sejagat dalam persada maya (universal virtual stage) tanpa sempadan kini.

“Jika dilakukan biar membina, boleh membawa peningkatan atau kemajuan,” katanya.

Menyentuh penambahbaikan tersebut, Mahadi berkata, antara yang boleh dijalankan ialah dari segi objektif iaitu tujuan FFM dianjurkan, definisi, pengisian, peranan pengurusan malah organisasi yang menganjurkan acara tersebut.

“Festival yang baik perlu jelas semuanya agar ia dipandang tinggi bukan saja oleh pengamal, sarjana dan masyarakat, tetapi juga khalayak filem dunia.

“Saya berpendapat sudah tiba masanya penganjur FFM menyediakan sebuah manual lengkap untuk rujukan semua pihak.

"Sekiranya manual telah sedia ada, penambahbaikan yang bersesuaian dengan matlamat baru yang ingin dicapai negara hendaklah digariskan,” katanya.

Selain itu, menurut Mahadi, kaedah lain untuk menilai dan membuat penambahbaikan ialah dengan memerhati festival-festival filem lain di negara luar terutama Asia, Asia Tenggara dan di lain-lain wilayah yang mempunyai latar, iklim dan sosiobudaya seiras dengan Malaysia.

“Festival Filem Singapura, Bangkok, Busan, Hong Kong, Pyongyang, Jogjakarta dan Manila misalnya bukan saja ternama dan dipandang tinggi di Asia tetapi juga oleh khalayak filem dunia, khususnya AS, Eropah, Afrika dan Asia.

“Meninjau festival filem yang terdekat iaitu Festival Filem Singapura saja sudah cukup untuk kita memikirkan bentuk, corak dan format FFM,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS