Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas beri amaran pihak sebar Mael Totey The Movie tanpa izin

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberi amaran keras terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran filem Mael Totey The Movie melalui media sosial, laman e-dagang dan laman web tanpa lesen pengedaran yang sah, agar menghentikan kegiatan itu serta-merta.

CEO Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, dalam usaha memperkasa lesen pengedaran sah, pihaknya komited untuk bertindak tegas jika mendapati ada aktiviti penayangan menyalahi undang-undang berdasarkan Seksyen 22(1) Akta Finas 1981(Akta 244).

“Finas menerima aduan daripada penerbit susulan terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengedar, menjual atau menayang produk berkenaan di platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan portal.

“Bila kami periksa platform terbabit tak ada lesen pengedaran, ia menyalahi undang-undang dan akta Finas. Finas akan ambil tindakan drastik.

“Jangan sampai pegawai Finas ketuk pintu rumah, sebab boleh tahu mereka duduk mana,” katanya kepada Malaysiakini.

Mael Totey The Movie yang ditayangkan sejak 22 Oktober lalu berjaya meraih kutipan sebanyak RM4 juta dalam tempoh lapan hari tayangan menerusi Astro First.

Menelan belanja RM400,00, naskah itu adalah filem sulung YouTuber terkenal, Muhammad Syahmi Sazli atau Syahmi Sazli. Filem itu juga membariskan empat pelakon orang kurang upaya iaitu Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas proaktif dalam mendepani isu tersebut dan siasatan awal mendapati beberapa platform digunakan untuk mengedarkan filem tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

Seksyen 22(1) Akta Finas 1981 membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kata Ahmad Idham, 46, dalam memperkasakan lesen pengedaran yang sah, Finas percaya isu pembanterasan cetak rompak boleh dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Finas secara agresif mengejar platform yang tayang sama ada filem tempatan atau luar negara. Kami akan memeriksa pemilikan lesen pengedaran mereka. Dengan kuasa begitu barulah seterusnya aktiviti cetak rompak boleh dikekang KPDNHEP.

“Sebelum ini banyak isu cetak rompak dimanipulasi pengedar kerana tak ada suatu akta atau kuasa khusus untuk tangkap semua. Ia saling berkait,” katanya.

Ahmad Idham juga menyeru supaya tiada lagi pihak sewenang-wenangnya mengambil dan mengedar karya bukan milik mereka.

‘Kita mohon mana-mana pihak di luar sana supaya jangan senang-senang ambil filem orang dan siarkan kerana menyalahi undang-undang.

“Dalam situasi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ini memang internet menjadi pilihan ramai orang tapi Finas enggan aktiviti muat turun secara haram kian berleluasa.

“Disebabkan hal itu, Finas memantau setiap hari dan selepas ini tak teragak-agak untuk membongkarkan mana-mana pautan yang ditemui,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS