Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kini orang ramai dapat dengar Ustaz Kazim menyanyi secara profesional

Buat pertama kalinya orang ramai mendengar suara pendakwah bebas, Kazim Elias, sebagai 'penyanyi profesional' melalui irama yang dirakam dalam studio.

Kazim menjadi salah seorang penyumbang suara untuk lagu Salawat 1442 yang diterbitkan sempena sambutan Maulidur Rasul esok.

Pertama kali mengambil bahagian dalam proses rakaman lagu, Kazim berharap Salawat 1442 dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda agar sentiasa bersikap positif menempuh kehidupan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan hargai kepercayaan diberikan Norman Abdul Halim untuk merakamkan sebuah lagu sempena Maulidu Rasul bersama dua penyanyi rap, Tuju dan Tyco," katanya.

Menurut Kazim elemen rap diselitkan dalam lagu itu bertujuan membuatkan golongan anak muda lebih tertarik untuk mendalami maksud di sebalk sambutan Maulidur Rasul.

Salawat 1442 dihasilkan oleh Imaan Music, sebuah label muzik berteraskan lagu-lagu Islamik kontemporari.

Karya itu muncul selepas lima tahun syarikat berkenaan menyepi. Selain Kazim lagu tersebut menggabungkan nama besar lain dalam genre rap iaitu Tuju dari kumpulan K-Clique, serta kumpulan muzik maya ditubuhkan KRU, Tyco.

Ada letak syarat

Objektif lagu itu bertujuan membawa kelainan dalam muzik dakwah dengan konsepnya disifatkan sebagai relaxing style.

Sementara itu Norman selaku ketua pegawai eksekutif Imaan Music pula berkata, pada awalnya Kazim meletakkan syarat sebelum setuju menjalin kerjasama berkenaan.

Syarat ditetapkan, kata Norman, Kazim mahu dia menyanyi bersama-sama dengannya dalam lagu berkenaan.

Bagaimanapun, syarat itu ditolak dengan baik oleh Norman yang kemudian mencadangkan agar penceramah bebas itu menjalin kerjasama dengan nama artis hip hop yang popular ketika ini.

“Dia letak syarat minta untuk menyanyi dengan dia, tapi saya cadangkan nama artis hip hop yang terkenal ketika ini iaitu Tuju selain Tyco,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas pemilihan Kazim, Norman berkata, tokoh terbabit dipilih kerana kebiasaannya menyanyikan beberapa rangkap lagu sebagai selingan dalam ceramahnya.

“Imaan Music lancar lagu selawat sempena Maulidur Rasul selepas lama menyepi, justeru pada masa sama nak tarik peminat hip hop tempatan selain cuba membawa lagu ni ke arus perdana.

“Ustaz Kazim juga mempunyai personaliti mudah mesra selain amat terbuka dengan konsep kerjasama sebegini,” katanya.

Tuju pula berkata, pembikinan lirik lagu rap yang dinyanyikannya itu adalah sesuatu yang belum pernah dibuat dalam mana-mana karya sebelum ini.

Menurutnya, melalui Salawat 1442, dia dapat meluahkan perasaannya dengan lebih jelas sekali gus berkongsi cerita perjalanan hidupnya dari dulu hingga kini dalam usaha menjadi insan yang lebih baik.

“Saya memang sukakan sesuatu perkara yang baru dan mencabar. Dalam banyak-banyak penglibatan saya dalam menghasilkan muzik, ni adalah kali pertama saya memberanikan diri untuk tampil bukan hanya dalam muzik, malahan dalam kehidupan sebenar.

“Terima kasih Imaan Music kerana memberi peluang dan ruang untuk saya berkarya dalam lagu ini.

"Diharapkan mesej yang saya cuba untuk sampaikan dalam Salawat 1442 dapat difahami dan diterima oleh semua,” katanya.

Bagi Tyco pula, Norman berkata, kumpulan itu kembali selepas 12 tahun hilang dari radar industri seni suara dengan penampilan terakhir dalam filem Cicakman 2 pada 2008.

“Walaupun konsep dibawakan kali ini berbeza berbanding karya-karya Tyco terdahulu, kami berharap karya kali ni dapat memberi impak kepada pendengar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS