Pelakon Amerul Affendi berharap kerajaan tidak melaksanakan "darurat" ketika negara berdepan masalah politik dan Covid-19.
Bagi Amerul, perkara itu boleh menambahkan lagi kesusahan rakyat yang sedia terjejas dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.
“Sekarang rakyat tengah sakit, ekonomi tengah sakit. Jika mereka berterusan macam ni dibimbangi akan menimbulkan perkara lain yang tidak diingini.
“Diharap dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik, tak perlu darurat,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, pelakon Mencari Rahmat itu antara lain menciap: “Sampai ke hari ni seorang pun tak mintak maaf lagi kepada rakyat kan?”
Mengulas ciapan tersebut, dia menyuarakan harapannya agar para pemimpin politik di negara ini dapat mencari kesefahaman melalui rundingan.
Kata pemilik nama penuh Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi itu, situasi politik yang kian tegang kian menjejaskan imej negara.
“Kepada semua yang tengah gilakan kuasa, saya harap mereka patuh dan mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kita semua berpegang pada Rukun Negara, jika tak hormat pada Agong, apa guna Rukun Negara yang kita angkat tu, justeru carilah jalan penyelesaian dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi.
Dalam satu lagi ciapan, Amerul, 34, menyarankan rakyat Malaysia agar tidak keluar mengundi ketika pilihan raya nanti bagi menunjukkan kekecewaan mereka.
Diminta mengulas perkara itu, dia berkata kaedah itu mungkin boleh dipertimbangkan.
"Entahlah, boikot memang tak elok. Tetapi apa lagi pilihan rakyat ada jika ahli politik terus bersikap begini. Mereka yang 'mendesak' kita.
“Mereka tak hormat kepercayaan rakyat yang mengundi. Ni saya cakap bukan berdasarkan mana-mana parti, tapi secara umum,” katanya lagi.
Terdahulu, Kabinet dalam mesyuarat khas dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini setuju dengan pelaksanaan "darurat" atas dasar menangani penularan Covid-19.
“Tunggu pengumuman,” kata seorang menteri yang enggan namanya didedahkan ketika dihubungi.
Langkah itu diambil susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada luar dan dalam.
Dia juga dilaporkan telah tiba di Istana Abdulaziz di Kuantan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.