Berdakwah dengan penampilan agak berbeza, ternyata ia suatu ujian buat Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed.
Dikecam, dihina, diugut antara cabaran perlu ditempuhi Syed apabila dia dianggap melakukan transformasi tidak relevan dalam melaksanakan tugasnya.
Tidak terhenti setakat itu, dia juga mengakui imejnya sering dibanding-bandingkan dengan pendakwah lain.
“Penampilan saya mengundang banyak kritikan, kecaman, hinaan dan ugutan. Kecaman diterima di ruang komen ataupun melalui mesej secara langsung (DM) di Instagram.
“Mereka kata ini tak macam dai. Mereka mengugut supaya saya melepaskan gelaran dai atau berhenti saja daripada jadi pendakwah,” katanya kepada Malaysiakini.
Namun, semuanya dihadapi dengan tenang selain dianggap sudah menjadi kebiasaan buat pendakwah muda berusia 25 tahun yang berkelulusan Pengajian Islam dan bahasa Arab di Maahad Buuth Islamiyah, Kaherah, Mesir, itu.
“Tu perkara biasa, tak perlu berasa tertekan dan saya tak ambil hati kerana apabila kita ingin sampaikan sesuatu kebaikan pasti ada perkara negatif yang orang lain akan fikirkan.
"Saya juga masih memakai gelaran dai kerana saya mahu ingat dari mana asal usul saya sebelum berada di tempat sekarang.
“Sebenarnya sejak hari pertama menjadi peserta program Da’i lagi saya sudah terima banyak kecaman kerana muncul dengan gaya rambut pacak-pacak dan memakai seluar ketat,” katanya.
Terdahulu, Syed - yang juga pelakon dan penyanyi - memuat naik perkongsian klip video pada Instagram miliknya dengan kapsyen: “Buang je lah title dai kau tu.”
Kapsyen itu turut menyebut: “Inilah cabaran, tapi korang kena ingat, 10 kali orang hina, maki kutuk, 100 kali korang kena bangkit.”
Bagi Syed, tiada syarat untuk seseorang itu berdakwah kerana apa yang lebih penting adalah niat dan amalan yang dipandang Allah SWT.
“Semua orang boleh berdakwah. Dan sewajarnya kita lebih mementingkan ilmu daripada perkara subjektif seperti pakaian. Tidak dilihat oleh Allah rupa paras itu, tapi Dia melihat amalan dan niat kamu.
“Sewaktu di Mesir belajar al-Quran kebanyakan pelajar memakai seluar jeans, berjaket dan berambut panjang namun guru tak pernah memarahi kami kerana yang penting adalah mencari ilmu,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Syed berkata, dia baru saja ‘dilamar’ syarikat pengurusan Universal Music Malaysia untuk bergelar penyanyi rakaman.
“Alhamdulillah, saya baru saja tandatangani kontrak minggu lalu. Tak lama lagi saya bakal muncul dengan lagu cover berjudul Agmal Eyoem, yang dinyanyikan penyanyi asal Amr Diab dari Mesir,” katanya.