Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bukan sengaja cipta kontroversi, Mael Totey mampu beri tarikan luar biasa - Syahmi

Bintang YouTube yang kini bergelar pengarah, Syahmi Sazli, berkata tidak terlintas langsung di hatinya untuk sengaja mencetus kontroversi mahupun meraih publisiti murahan apabila memilih Mael Totey The Movie sebagai judul filem sulung arahannya.

Dia mengeluarkan kenyataan demikian selepas ada segelintir pihak mempertikai ada maksud tersirat di sebalik penggunaan perkataan “totey” tersebut.

Melalui semakan di media sosial, rata-rata netizen yang kurang memahami menyifatkan perkataan tersebut merujuk kepada perkataan lucah.

Namun, jawab Syahmi atau nama penuhnya Muhammad Syahmi Sazli, sebenarnya memang Mael Totey The Movie dihasilkan khusus buat peminat yang berasal dari Kelantan.

“Saya tak pernah terfikir akan timbul sebarang isu sebabnya filem berkenaan merupakan kesinambungan daripada drama spontan yang disiarkan di saluran YouTube saya sebelum ni.

“Drama tersebut sudah bersiaran selama lapan episod. Namun, pada ketika tu, tak timbul pula sebarang isu mengaitkan judul tersebut dengan perkataan lucah.

“Kami di Kelantan pun baru tahu panggilan tersebut dikaitkan berbaur lucah. Bahkan bila dah jadi filem barulah mula timbul isu sebegini,” katanya kepada Malaysiakini.

Jatuh hati pada pengajar

Menurut Syahmi, 25, panggilan Mael Totey bukan menjadi suatu yang asing buat penduduk di Kelantan malah katanya, panggilan itu disifatkan boleh memberi tarikan kepada filemnya.

“Di Kelantan, hanya nama Mael yang akan diiringi dengan perkataan tersebut, tak ada nama lain.

“Dan jika saya hanya menggunakan tajuk Mael saja pada awalan, ia seolah-olah tak mampu memberi tarikan buat penduduk Kelantan,” katanya.

Mael Totey The Movie dijayakan Syahmi - antara penggerak utama filem - yang membawa watak Mael Totey. Dilahirkan sebagai seorang lurus bendul, Mael Totey berhajat memikat gadis idamannya Yaya.

Namun, Yaya mengenakan syarat iaitu Mael perlu menguasi bahasa Inggeris. Sewaktu mempelajari bahasa tersebut, Mael jatuh hati pada guru yang mengajarnya hingga menimbulkan konflik antara mereka bertiga.

Mael Totey The Movie yang dijadual menemui penonton pada dua hari lagi di Astro 1st saluran 480 itu turut dijayakan barisan pelakon seperti Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail, Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid dan Kamarool Yusoff.

Sementara itu, mengulas kemunculan naskhahnya itu di Astro 1st dan bukannya layar perak, Syahmi berkata, pada awal dia hanya mahu mencuba nasib sebagai pengarah filem.

Menurutnya, semuanya berpunca daripada galakan yang diberikan peminat selama ini.

“Saya hanya memperjudikan nasib, tak tau pun siapa yang sudi menayangkan filem ni. Saya berterima kasih kepada peminat kerana mereka yang berikan galakan penuh untuk hasilkan sebuah filem.

“Jika tak ada sokongan mereka, mungkin Mael Totey The Movie belum dapat dihasilkan tahun ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS