Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kegiatan seni catan biasanya hanya tertumpu di kawasan Lembah Kelang.

Pekerja seni yang duduk dan berkarya dalam kawasan berkenaanlah yang akan lebih mudah dikenali berbanding mereka yang di luar.

Kerana itu nama Abu Yusof kurang dikenali dalam kalangan peminat seni lukis di negara ini.

Abu Yusof bergerak cergas dengan kumpulan pelukis yang mengelar diri mereka sebagai Kumpulan Rajawali dan menjadikan bandar Kuantan sebagai tempat menghasilkan karya.

Dia memulakan kerjaya sebagai pelukis hampir 25 tahun lalu setelah terpaksa pulang ke tanah air semasa meletusnya Perang Teluk yang kedua.

Ketika itu Abu Yusof menuntut di Jordan. Namun kerana konflik bersenjata itu dia dibawa pulang oleh kerajaan. Setelah melalui beberapa fasa dalam kehidupannya kemudian, Abu Yusof memilih untuk menjadikan seni catan sebagai perkerjaan.

Karya-karya Abu Yusof menjurus kepada memperkata dan mempersoalkan kewujudan dia sebagai hamba tuhan di samping karya-karya yang memfokus kepada keadaan sekelilingnya.

Minat Abu Yusof kepada persoalan hubungan manusia dan tuhan itu juga membawa dia mengembara ke beberapa buah negara seperti India, Pakistan, Bangladesh, Mesir, Jordan dan banyak lagi.

Abu Yusof mengadakan pameran solonya yang berjudul Out Of The Blue pada 2010 dan merupakan pemenang hadiah saguhati pertandingan Formula Malaysia pada 2000.

Dia juga banyak terlibat dalam pameran di dalam dan di luar negara.

Diharapkan peminat seni catan meluangkan masa untuk mencari para pekerja seni luar dari Lembah Kelang.

Kita mempunyai ramai artis dan banyak kolektif yang bergiar cergas seperti kumpulan Lakar di Lumut, KapalLorek di Seri Iskandar selain pertubuhan-pertubuhan seni di setiap negeri.

Mungkin akan ditemui sesuatu yang baru dan segar lebih daripada apa yang sering dipamerkan di galeri-galeri sekitar Kuala Lumpur hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS