Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bubblebee tutup empat cawangan serta-merta
Diterbitkan:  Oct 12, 2020 10:58 PM
Dikemaskini: Oct 13, 2020 12:27 AM

Syarikat kedai minuman jenama Bublebee Sdn Bhd (Bublebee) menamatkan usahasama mereka dengan empat pengurusan cawangan serta-merta selepas mendakwa perniagaan itu terjejas teruk.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee Ismail Abdul Rahman memberitahu langkah tersebut dibuat ekoran berita tular membabitkan rakan usahasama mereka yang menjejaskan reputasi Bubblebee.

Katanya salah seorang ahli lembaga pengarah mereka juga dipanggil pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

"Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kebersalahan rakan usahasama cawangan kerana kes masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas siasatan terbabit mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan dengan teruk sekali.

"Justeru, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama dengan kesemua rakan kongsi yang menguruskan empat cawangan berikut iaitu Bubblebee Ampang, Bubblebee Senawang, Bubblebee Sentul, dan Bubblebee Sungai Buloh.

"Penamatan ini berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan sebentar tadi.

Bagaimanapun, Bubblebee tidak menamakan sesiapa dalam kenyataan tersebut.

Untuk rekod baru-baru ini pelawak dan juruhebah radio, Shuib Sepahtu, ada dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes Macau Scam.

Suami penyanyi Siti Sarah Raisuddin itu juga memang dikenali sebagai usahawan yang menggerakkan rangkaian kedai Bubblebee.

Ismail berkata, keempat-empat cawangan tersebut juga akan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

"Pembukaan semula keempat-empat cawangan ini akan diumumkan di platform komunikasi rasmi kami selepas proses pengambilalihan selesai.

"Kami mengucapkan terima kasih dan selamat berjaya kepada semua rakan usahasama yang telah menyokong jenama minuman kami selama ini.

"Kami juga sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam semua urusan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS