Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Mengharap seni, budaya bangkit melawan sikap double standard

ULASAN SENI | Ada kalanya memang kita serasa nak menyerah. Penat sudah dengan segala macam hukum dan sistem-sistem double standard (dwistandard) kuasa yang menindas tanpa segan-silu.

Ia berlaku ketika sebelum ini pun ramai orang sudah lelah dan jengkel dengan kerenah menteri-menteri yang bangga menayangkan kekayaan masing-masing.

Justeru sikap pilih bulu kerajaan dengan menteri-menterinya gemar melempar batu tapi cepat-cepat kemudiannya menyembunyikan tangan menjadikan luka rakyat kian pedih.

Ia membuat kita jadi lesu, tumpul pemikiran, malah kadang-kadang terasa menuju kubur adalah pilihan lebih baik.

Banyak keluarga di luar sana masih bergelut untuk meneruskan kehidupan. Siang dan malam mereka hanya diisi dengan usaha dan doa agar keperluan masing-masing mencukupi, atau sekurang-kurangnya ada makanan untuk dijamah.

Sambil-sambil itu mereka bermohon agar dijauhkan daripada sakit dan terkena jangkitan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan amaran kepada semua negara di wilayah Pasifik Barat - termasuklah Malaysia - agar bersedia menghadapi gelombang baru Covid-19.

Kata Dr Babatunde Olowokure, Pengarah Kecemasan Wilayah WHO bagi belahan Pasifik Barat, puncanya adalah sikap dan kelemahan dasar kerajaan.

Bencana yang menakutkan

Pelanggaran, kelonggaran dan pengecualian prosedur operasi standard (SOP) seperti mengadakan perhimpunan dalam keadaan berisiko tinggi tentunya suatu kesilapan yang kita dapat pengajarannya kemudian dalam keadaan amat memeritkan.

Beberapa hari lalu ada bayi semuda setahun mati kerana Covid-19. Sebelum itu kira-kira 600 anak sekolah rendah terpaksa menjalani ujian swab yang menggerunkan.

Entah trauma dan kesusahan apa lagi yang terpaksa anak-anak ini dan keluarga mereka mahu hadapi.

Semuanya gara-gara dwistandard kerajaan dalam perlaksanaan SOP yang memberikan keistimewaan kepada menteri dan orang politik namun keras ke atas orang awam.

Usahlah diulang lagi nama Khairuddin Aman Razali itu. Mendengar nama menteri itu saja sudah cukup untuk membuat darah kita naik.

Entah mengapa kita selalu mudah terpukau dengan kebanggaan terhadap bangsa, status, warna dan kelas. Tidak tahu mengapa kita selalu berasa syurga pasti dalam dakapan apabila menyelamatkan umat Syria dan Palestin ketika ada jiran kita bernama Penan, Jakun, Temiar dan Semai kita abaikan.

Sikap double standard itu benar dan ia sesungguhnya bencana yang menakutkan.

Tatkala sakit ini berleluasa membarahi perut dan otak masyarakat di sinilah peranan seni dan fungsi sastera perlu dibangkitkan.

Karyawan memang sudah jelak dengan perkataan seni untuk masyarakat yang dislogankan. Masyarakat tidak pernah tahu atau mahu peduli pun slogan-slogan sebegitu. Kerana akhirnya seni tetap hanya hiliran, sampingan dan selingan dalam majlis-majlis menteri atau wakil rakyat mahu menyampaikan derma.

Seni dan sastera terlalu lama terperuk. Ia kian rapuh dan mereput, membusuk dan berulat dimakan ketakutan terhadap hukum-hakmm kuasawan.

Selepas terpuruk seni dan sastera itu, akhirnya jasad serta fikiran masyarakat dimatikan daripada mahu bangkit melawan segala jenis double standard.

Sepatutnya mencerdaskan akal manusia

Masyarakat tidak lagi dapat menemukan tokoh laksana Shahnon Ahmad, si sasterawan yang melawan Rancangan Malaya Pertama dan Kedua dengan Ranjau Sepanjang Jalan.

Malah siapa yang mampu melupakan bagaimana karyanya SHIT! itu melawan sampai mencalarkan teruk imej Mahathir Mohamad?

Bukan kepalang jasa Tunku Abdul Rahman dipandang oleh masyarakat namun ia tidak sedikit pun membantutkan Shahnon untuk melawan dengan karyanya demi menyedarkan masyarakat bahawa perdana menteri pertama itu gagal melestarikan sumber pertanian hingga menyebabkan ramai petani melarat.

Polemik dan wacana seni klasik L’art pour l’art - atau art for art’s sake, atau seni untuk seni - seharusnya dapat memberikan lonjakan buat karyawan.

Orang seni harus berani dan cepat memberikan reaksi terhadap penindasan. Lalu mereka harus menghasilkan karya yang mampu berdiri sendiri untuk merangsang masyarakat berfikir.

Apa pun jalan seni - baik yang diangkat Theophile Gautier, Edgar Allan Poe atau John Ruskin, mahupun aliran Friedrich Nietzsche atau Oscar Wilde - ia harus mencerdaskan akal manusia.

Wilde pernah menulis:

“A work of art is useless as a flower is useless. A flower blossoms for its own joy. We gain a moment of joy by looking at it. That is all that is to be said about our relations to flowers. Of course man may sell the flower, and so make it useful to him, but this has nothing to do with the flower. It is not part of its essence. It is accidental, It is a misuse. All this is very obscure. But the subject is a long one.”

Kedua-dua aliran itu hakikatnya mengakui seni memang produk penting yang memiliki hubungan kuat dengan masyarakat. Tiada double standard dalam penghasilan kesenian.

Justeru orang seni harus melawan apa saja jenis double standard yang ada di depan kerana double standard itu adalah penindasan. Baik yang datang dari seorang abah yang mengugut nak merotan, mahupun yang datang dari dalam masyarakat yang bodoh meraikan double standard.

Muhyiddin Yassin dan barisan kabinetnya yang melimpah-limpah itu pun rasanya tahu bahawa seni ada banyak kegunaan. Baik pada politikus, kerajaan, masyarakat atau rakyat.

Kalau tidak masakan dia tergamak membuat jenaka mengenai rotan dalam amanatnya, kan?


HARIS HAUZAH ialah anak setinggan yang masa kecilnya selalu mendengar ceramah Umno di dewan sebelah rumahnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS