Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zamani harap diberi kesihatan terbaik untuk konsert tahun depan

Masalah kesihatan yang dideritainya tidak menghalang vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim untuk merealisasikan impian menjayakan konsert yang dijadual berlangsung 17 Januari tahun depan.

Harapan Zamani agar dia dapat memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya itu dengan sebaik mungkin apabila tiba waktu untuk membuat persembahan di hadapan peminat nanti.

“Walaupun keadaan kesihatan saya bukan 100 peratus baik, insya-Allah, apabila diberikan tugasan, diharap segala-galanya dapat dipermudahkan.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk melaksanakan amanah diberikan, orang dah beri kepercayaan, justeru, saya kena berikan yang terbaik.

“Mudah-mudahan kesihatan saya baik apabila sampai tarikh konsert nanti. Saya berharap peminat sama-sama terus mendoakan kesihatan ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Zamani, 49, sudah lama dibelenggu masalah tulang belakang melengkung atau skoliosis yang memerlukannya bergantung kepada ubat penahan sakit sekiranya keadaan bertambah teruk.

Zamani, 49, ditemui pada majlis pengumuman Konsert Slam Mentari Muncul Lagi di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, tiga lagi anggota berkenaan, iaitu Shah, gitaris, Eddie (keyboard) dan Man (dram) manakala Lili (bass) tidak dapat hadir kerana menetap di Singapura.

Lili akan hadir untuk menjalani sesi latihan yang ditetapkan waktunya selepas menjalani kuarantin 14 hari manakala seorang lagi pemain gitar iaitu Ajak tidak dapat menyertai konsert tersebut atas alasan tertentu.

Kata penyanyi Masih Ada Cahaya itu, tahap kesihatannya setakat ini dipercayai tidak menganggu sebarang persiapan yang dijalankan untuk menempuh konsert berkenaan.

Menurutnya, dia sedang melakukan yang terbaik terutama dari sudut rawatan kesihatan tulang belakang melengkung itu.

“Saya tidak berasakan masalah sakit tulang belakang ini akan mengganggu prestasi saya sebab sekarang saya masih jalani rawatan kiropraktik.

“Hasil rawatan selama ni, saya nampak memang ada perkembangan positif tambahan pula saya banyak berehat di rumah pada waktu ini,” katanya.

Konsert berkenaan bakal diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8.30 malam 17 Januari.

Sementara itu, Shah mengulas, dia dan anggota lain kumpulan itu memberi sepenuh kepercayaan kepada Zamani kerana pernah melihat stamina dan kesungguhan dipamerkan penyanyi itu sebelum ini.

“Kenapa kami masih berani nak berikan Zamani peluang? Kerana dah ada pengalaman melihat stamina diberikannya sewaktu buat persembahan hampir tiga jam di Singapura.

"Kami dah tak larat, tapi suara Zamani pula semakin sedap,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS