Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Patuhi SOP ketika penggambaran, pesan Finas
Diterbitkan:  Oct 6, 2020 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengingatkan semua syarikat produksi agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika menjalankan penggambaran.

Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid berkata, penggiat seni juga perlu mengelakkan sebarang aktiviti penggambaran di kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah.

“Finas mengambil maklum tentang peningkatan kes penularan jangkitan Covid-19 sehingga ke hari ini di seluruh negara.

“Justeru, Finas mengambil langkah proaktif bagi mengingatkan semua syarikat produksi yang sedang dan akan melakukan aktiviti penggambaran untuk memastikan pelaksanaan semua garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Ia meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan disinfeksi premis serta penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan yang telah dimaklumka,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya kawalan kesihatan dipatuhi sepenuhnya, penggiat seni dapat turut sama mengekang penularan jangkitan Covid-19 daripada terus berleluasa.

“Finas berharap semua penggiat industri sentiasa mematuhi garis panduan dan membiasakan diri dengan norma baharu agar semua aktiviti perfileman dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa jangkitan Covid-19,” katanya.

Setakat ini, terdapat 2,336 kes aktif Covid-19 di Malaysia.

Negara menyaksikan kenaikan mendadak kes Covid-19 sejak bulan lalu, dengan keadaan kian memburuk sejak minggu lalu.

Rekod kes harian tertinggi dipecahkan tiga kali dalam masa seminggu, dengan jumlah kes baru semalam merupakan jumlah tertinggi dengan 432 kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS