Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
M Daud Kilau dapat kerusi dari MB, diziarah Ebit Lew

Meskipun keadaan kesihatan M Daud Kilau semakin uzur lantaran komplikasi beberapa penyakit dihidapinya, penyanyi veteran itu bersyukur kerana berasa dirinya masih disayangi ramai.

Dia yang dikenali ramai dengan jolokan Raja Gelek itu mengulas demikian ketika ditanya berhubung bantuan yang diterima selepas kisah mengenai keadaannya menjadi tular baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ada pihak yang sudi tampil menghulurkan bantuan. Terima kasih," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, dia terharu apabila antara pihak yang memberikan bantuan ialah Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, yang menyediakan kerusi roda elektrik.

Buat masa ini kata penyanyi berusia 82 tahun itu, dia masih belum berkesempatan untuk betul-betul memahami cara penggunaan kerusi roda elektrik berkenaan.

“Begitu ramai yang berkunjung ke rumah saya akhir-akhir ini sejak dua menjak ni, justeru belum sempat belajar bagaimana nak guna kerusi roda tu sepenuhnya,” katanya.

Pada 30 September lalu, Malaysiakini melaporkan, M Daud Kilau memohon bantuan bagi mendapatkan kerusi roda berkuasa elektrik kerana keterbatasan dirinya untuk bergerak.

Dia yang turut popular dengan lagu Sirih Pinang dan Cek Mek Molek itu berkata, ia juga bagi memudahkannya untuk mencari saham akhirat di surau tanpa mengharapkan bantuan orang lain. 

Bantuan lain sedang diselaras

Penyanyi itu sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan sejak empat tahun lalu dan berdepan kesukaran untuk berdiri lama. Justeru banyak masanya dihabiskan dengan berbaring di atas katil.

Selain menderita kencing manis sejak berpuluh tahun lalu, M Daud Kilau juga menghidap masalah jantung tidak stabil, tangan dan kaki selalu kebas serta yang terkini kurang pendengaran sebelah telinganya.

“Kesihatan kurang memuaskan. Selalu pening kepala,” katanya.

Sementara itu pejabat Menteri Besar Perak mengesahkan Ahmad Faizal menyumbang kerusi roda elektrik kepada M Daud Kilau yang diserahkan melalui pejabat daerah.

Jurucakap pejabat menteri besar berkata, kerajaan negeri juga sedang menyelaraskan bantuan lain buat penyanyi terbabit.

Baru-baru ini dia juga dikunjungi personaliti Ebit Lew di kediamannya di Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak.

“Ada pelbagai sumbangan diberikan antaranya makanan dan penyaman udara,” katanya.

Ebit melalui hantarannya di Facebook turut berkongsi pengalaman menziarahi M Daud Kilau yang disifatkannya mempunyai perwatakan lemah lembut.

“Sebak sayu hati rasa baru ziarah M Daud Kilau dan isterinya di Bagan Datuk. Walau uzur dia masih senyum ceria, semangat melayan tetamu.

“Lemah lembut orangnya. Tak bagi kami balik kalau tak makan. Semua kru kena makan, saya suap (M Daud Kilau). Katanya kali pertama ni kena suap dengan ustaz. Alhamdulillah saya berkongsi sedikit hadiah dengannya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS