Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Molek untuk hargai kecantikan semula jadi wanita nusantara

Dikenali kerana sering mengetengahkan topik sensitif melalui hasil karya mereka, kali ini kumpulan Salammusik tampil mengajak wanita menghargai kecantikan semula jadi yang dimiliki diri masing-masing.

Atas alasan itu, Salammusik menampilkan buah tangan terbaru mereka berjudul Molek, sebuah lagu yang menceritakan tentang keaslian dan apresiasi terhadap wanita.

Kata salah seorang anggota Salammusik, Ashraaf Salam A Azlan, lagu berkenaan tercipta hasil pengamatan mereka terhadap industri kecantikan di negara ini.

“Saya rasa industri kecantikan membuat kita terlalu fokus pada kecantikan luaran dan membuat kita percaya semuanya boleh dibaiki dengan produk kosmetik.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk kita mengetengahkan kecantikan semula jadi dengan cara meraikan kepelbagaian, perbezaan dan mendorong wanita menghargai keindahan diri masing-masing.

“Mereka harus menerima kecantikan dalaman dan menerima keaslian yang dimiliki,” katanya.

Tayangan perdana muzik video single terbaru oleh Salammusik itu sudah boleh dilayari di semua platform digital bermula hari ini.

Lirik, susunan melodi digemari

Mengulas maksud di sebalik Molek, Ashraaf berkata, apabila seseorang semakin tua, mereka akan menyedari nilai kesihatan dan kecantikan dalaman mempunyai nilai sangat tinggi.

“Kami percaya bahawa keindahan semula jadi datang dari jiwa. Jadi apabila sesuatu yang dirasakan dari dalam, pasti akan terpancar pada luaran,” katanya.

Semakan Malaysiakini mendapati, video muzik Molek yang baru saja disiarkan hari ini mengundang respons yang rencam daripada orang ramai.

Ada antara komen pelanggan saluran YouTube Salammusik mempersoalkan mengapa video muzik berkenaan tidak memaparkan keindahan seorang wanita nusantara yang kaya dengan adab berpakaian sopan.

“Hanya nak beri komen ikhlas, tidak berniat untuk menyinggung perasaan. Saya sukakan lirik dan melodi lagu, ia sungguh sedap didengari.

“Tetapi untuk video muzik, saya rasakan lebih baik kita ketengakan kemanisan gadis tempatan dan nusantara. Hanya pandangan 2 sen saya,” kata pengguna akaun @the gathis.

Seorang lagi pengguna, @Nabeel Ozir pula berkata, dia malu untuk menonton video Molek kerana tidak mencerminkan wanita dari “alam Melayu.”

“Ni tema video lebih alam orang Barat, tak mencerminkan wanita alam Melayu sedikit pun, rasa malu pula tengok video ni, maaf,” katanya.

Bagaimanapun, lagu berkenaan berjaya mengundang beberapa komen positif misalnya daripada pengguna akaun @Naim Mazeri.

“Liriknya tak pernah menghampakan. Identiti dan bunyi semuanya tersendiri,” katanya.

Seorang lagi pengguna akaun @Faisal Jovanovich berkata, lagu berkenaan sesuai untuk diberikan kepada teman wanitanya yang terlalu gemar menggunakan alat solek.

“Tentu sekali akan berikan lagu ni pada kekasih saya sebab dia ketagih mekap, macam ape ntah, lagu terbaik, Salammusik,” katanya.

Menjawab pandangan tersebut, Ashraaf, 32, berkata ada sebab mengapa gadis dalam video Molek itu ditampilkan sedemikian.

Menurutnya, gadis bernama Liana itu dilahirkan dan dibesarkan di Borneo, sekali gus meletakkan dia seorang gadis Nusantara sebenar.

"Lagu itu diciptakan untuk semua wanita Nusantara tak kira umur, bangsa atau agama.

“Tujuan utama kami ialah ingin sampaikan mesej bahawa kita haruslah lebih menghargai kecantikan semula jadi yang dikurniakan tanpa terlalu bergantung pada produk kecantikan dan sebagainya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS