Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rich Estranged: Bagus kalau ramai artis sertai politik

Memulakan langkah awal untuk aktif dalam politik, vokalis Estranged, Rich Gimbang, berkata dia berharap lebih ramai artis yang mengikut jejak langkah itu dengan matlamat mahu menyumbang bakti kepada masyarakat.

Katanya, walaupun dunia hiburan dan politik adalah dua cabang berbeza, ia sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk golongan selebriti menunjukkan minat mereka terhadap dunia tersebut.

“Saya berharap lebih ramai kalangan selebriti tampil untuk menjalankan misi membantu dan menjaga kepentingan rakyat bersama-sama,” katanya kepada Malaysiakini.

Rich berkata demikian ketika diminta mengulas adakah dia setuju sekiranya lebih ramai golongan selebriti mewarnai arena politik tanah air seperti yang berlaku di Indonesia.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Rich atau nama penuhnya Richael Lawrence Gimbang menyatakan hasrat untuk menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Khabar itu dikongsikannya melalui Instagram dengan kapsyen berbunyi: “Kerja-kerja bermula sekarang, kami sudah bersedia.”

Rich, 38, yang aktif menjalankan projek kemasyarakatan itu juga berkata, dia mahu memastikan perjuangannya nanti benar-benar membawa faedah kepada penduduk di Tambunan, Sabah.

Mulakan di kawasan masing-masing

Penyanyi Itu Kamu itu menjelaskan, sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat, dia perlu membuktikan kesungguhannya dalam membantu penduduk Tambunan.

Alasannya, dia tidak ingin tidak disamakan dengan ahli politik lain yang ada membawa imej negatif. 

“Kita kena jujur dan ingat dari mana asal-usul kita datang. Nanti orang kata kita ni penipu, sama saja (dengan ahli politik lain),” katanya.

Rich bersama dua lagi anggota Estranged - iaitu Solihuddin Hormat atau Din dan Nor Hanafi Noor Hadi - sebelum ini terbabit dalam projek tanggungjawab sosial korporat iaitu Jelajah Misi Elektrik Borneo.

Rich berkata, dia berharap misinya membantu kampung-kampung tiada kemudahan asas seperti elektrik itu berjaya menyuntik semangat dalam kalangan selebriti untuk turut tampil berkhidmat demi masyarakat.

“Perlahan-lahan nak perluaskan dan tambah apa sudah dimulakan sebelum ni seperti pusat Internet dan pusat pendidikan pula.

“Sekiranya berjaya bawa impak akan lebih ramai selebriti tahu misi saya dan mereka mungkin boleh turut serta untuk membantu rakyat dengan memulakannya di kawasan masing-masing,” katanya.

Di Indonesia bukan sesuatu yang aneh untuk seorang selebriti menyertai pilihan raya, malah sesetengahnya berminat bersaing mendapatkan jawatan presiden.

Antara penyanyi yang terbabit secara aktif dalam politik di negara itu ialah Krisdayanti, Pasha Ungu, Ahmad Dhani dan Rhoma Irama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS