Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid bersyukur wabak Covid-19 membawa hikmah tersendiri apabila anggota agensi itu menunjukkan pencapaian positif sepanjang 100 hari perkhidmatan sejak diberi mandat menggalas tugas Mei lalu.
Zakaria berkata, dia berpuas hati selain berbangga kerana beberapa pelan strategik Finas berjaya digerakkan dengan lancar walaupun dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.
“Disebabkan masalah penularan wabak Covid-19 kita terpaksa mempercepatkan semua kerja. Ada pihak pengurusan sampai terpaksa berjaga hingga lewat tengah malam sebab nak siapkan kerja.
“Justeru, jika dilihat dari segi pencapaian sepanjang tempoh ini, kita sebenarnya sudah melebihi sasaran 200 peratus. Ia memang sesuatu yang di luar jangka.
“Dalam soal ni, saya rasa bukan Finas saja perlu meningkatkan momentum kerja tapi pelbagai agensi lain yang terkesan gara-gara masalah berpunca daripada Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Pencapaian 100 Hari Ahli Perbadanan Finas di Finas, Petaling Jaya hari ini.
Menurut Zakaria, usaha pihak perbadanan dipermudahkan apabila mendapat sokongan penuh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Antara yang turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Finas Norman Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas (CEO) Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Zakaria yang merupakan bekas ketua cabang PKR Bera dilantik mengemudi agensi itu pada 23 Mei lalu bagi menggantikan pelakon dan penerbit filem Hans Isaac.
Pelantikannya mengundang perhatian memandangkan dia bukan daripada industri filem, sebaliknya merupakan ahli politik.
Mengulas penerimaan terhadap pelantikannya itu, Zakaria berkata tanggapan sukar mendapat kerjasama ternyata meleset apabila dia mendapat sokongan baik daripada semua pihak.
“Pelantikan saya adalah cabaran amat berat. Saya sangka sukar peroleh kerjasama disebabkan latar belakang saya, namun Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan untuk menerajui Finas,” katanya lagi.
'Ada sasaran dicapai awal'
Mengulas lanjut, Zakaria berkata antara pelan strategik yang berjalan dengan lancar adalah dari segi meningkatkan fasiliti bagi kemudahan penggiat seni.
Menurutnya, bantuan untuk artis mendapatkan rumah melalui komuniti seni prihatin sebenarnya sudah dimulakan Ahmad Idham kira-kira dua tahun lalu.
“Disebabkan wabak Covid-19, saya terpaksa berjumpa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memohon segala urusan dipercepatkan.
“Kami jangka penggiat seni akan dapat rumah pada tahun depan, tapi kita berjaya selesaikan dengan cepat melalui kerjasama KPKT," katanya lagi, yang berkata akan meluaskan kerjasama dengan kementerian lain bagi membantu penggiat seni.
Pada masa sama, dia berkata perancangan yang dijadual dilaksanakan tahun depan sudah dapat dilakukan antaranya program akreditasi bagi menambah baik profesionalisme penggiat seni.