mk-logo
Seni & Hiburan
Kevin Spacey didakwa lakukan serangan seksual pada remaja 14 tahun
Diterbitkan:  Sep 10, 2020 3:30 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Pemenang Oscar Kevin Spacey dalam saman sivil terhadapnya pada Rabu dituduh melakukan serangan seksual pada tahun 1980-an oleh pelakon Anthony Rapp dan individu kedua, yang tidak dinamakan ketika kedua-dua plaintif berusia sekitar 14 tahun.

Tuntutan saman itu, yang difailkan di mahkamah negeri New York di Manhattan, merujuk kepada kejadian yang sama yang didedahkan oleh Rapp dalam wawancara BuzzFeed pada Oktober 2017 yang mencetuskan kontroversi kejatuhan Spacey di Hollywood.

Reuters melaporkan Rapp, bintang muzikal Broadway "Rent" itu dalam tuntutan samannya mendakwa Spacey "melakukan hubungan seksual yang tidak diingini" dengannya ketika dia berusia 14 tahun, semasa parti di rumah Spacey pada tahun 1986.

Individu kedua, yang hanya dikenali sebagai CD pula mendakwa bahawa dia dan Spacey melakukan seks oral dan liwat serta melakukan perbuatan seksual lain dalam beberapa kejadian pada awal 1980-an ketika dia berusia sekitar 14 tahun.

Rapp juga mendakwa Spacey meraba punggung plaintif yang ketika itu berusia 14 tahun, mengangkatnya ke atas katil sebelum menindih tubuhnya.

Bagaimanapun, peguam Spacey belum memberi sebarang maklum balas terhadap dakwaan terbabit kerana pelakon The Usual Suspects itu mendakwa dia tidak mengingati sebarang kejadian yang didakwa.

Dalam tuntutan samannya, Rapp berkata, dia mengalami kecederaan psikologi, termasuk tetapi tidak terbatas pada tekanan emosi yang teruk, penghinaan, ketakutan, kemarahan, kemurungan dan kegelisahan; kejutan yang teruk pada sistem sarafnya; dan disebabkan oleh penderitaan mental, emosi dan psikologi menyebabkan dia tidak dapat menjalankan tugasnya.

Kedua-dua plaintif meminta pampasan yang tidak ditetapkan daripada Spacey.

Rapp sebelum ini pernah tampil dengan tuduhannya terhadap Spacey pada Oktober 2017 sewaktu dia bercakap dengan media mengenai tingkah laku pemangsa pelakon American Beauty itu.

“Dalam ingatan saya ketika tu adalah semua orang sudah pulang dan saya juga harus pulang.

“Tapi Spacey berdiri di depan pintu dalam keadaan mabuk dan dia kemudian mengangkat saya seperti pengantin lelaki mendukung pengantin wanita.

“Ketika tu saya fikir apa yang berlaku sebenarnya dan menindih saya. Tapi saya sedar dia cuba memperlakukan saya secara seksual,” katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Oktober 2017, Spacey menjelaskan dia tidak ingat sebarang insiden membabitkan Rapp dan meminta maaf atas perilaku dipamerkan sewaktu dia mabuk.

Spacey juga mengumumkan: “Saya memilih untuk hidup sebagai lelaki gay.”

Pada Julai 2019, pendakwaraya Massachusetts menggugurkan dakwaan serangan seksual ke atas Spacey selepas mangsa dalam kes terbabit enggan menampilkan diri.

Satu lagi serangan seksual pada Disember 2019 digugurkan apabila mangsa, seorang tukang urut meninggal dunia akibat kanser pada September. Notis tersebut difailakn waris mangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS