Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nabila Huda serba salah akui video bikin gempar dulu cuma gimik

Nabila Huda berkata dia berasa serba salah untuk mengaku perkara sebenar selepas muncul aksinya dalam ketakutan dan cemas dalam klip video dimuatnaik di Insta Story awal Ogos lalu.

Kata aktres terbabit, penampilannya dalam video tersebut sebenarnya semata-mata untuk gimik selain memenuhi tuntutan tugasan yang diberikan kepadanya bagi menjayakan program The Masked Singer Malaysia.

“Saya diberi tugasan oleh produksi untuk berlakon seolah-olah ternampak kelibat seseorang memakai topeng. Rakaman tu cuma untuk promosi dan gimik,” katanya.

Pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi itu ditemui pada majlis pelancaran program The Masked Singer Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Nabila antara sembilan figura yang diberi penghormatan untuk menduduki kerusi tetap juri dalam program yang bakal dipancarkan melalui Astro mulai 18 September berkenaan.

Pada 12 Ogos lalu, pelakon Munafik itu berkongsi video memaparkan dia berada dalam keadaan panik sambil menangis ketakutan kerana mempercayai ada bayang individu disyaki pencuri bersaiz besar dan memakai serba hitam.

Lebih mencemaskan, dalam rakaman tersebut Nabila, 34, berkata suaminya, Mohd Izwan Johar dan anak perempuan mereka, Keisha Laila, 10, tiada di rumah.

Bagaimanapun, Nabila berkata dia langsung tidak menyangka lakonannya menjadi keterlaluan hingga mencetuskan perasaan panik dalam kalangan keluarga, peminat serta selebriti lain.

Nabila juga berkata, dia tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada pihak yang bertanyakan keadaannya tetapi cuma mampu memaklumkan dirinya pada ketika itu baik-baik saja.

“Disebabkan lama tak berlakon seperti situasi berkenaan, saya memang beri 100 peratus komitmen sampaikan berlebih-lebihan menjiwai watak tersebut.

“Ia sebenarnya hanyalah tugasan biasa-biasa saja. Tapi apabila video sampai pada rakan-rakan dan keluarga, ada yang tak henti-henti telefon untuk tanya apa sudah berlaku.

“Anak saya pun sampai menangis-nangis risaukan saya. Sebenarnya, semua orang tak tahu suami saya ada di rumah pada waktu tu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS