Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Surat Widji Thukul, politik tua dan moral hudhud

ULASAN | Amat sukar sekali untuk membicarakan seni tanpa membincangkan hal-hal budaya, sosial dan permasalahan masyarakat yang semuanya berkait langsung dengan politik setempat.

Dalam puisi Surat Seorang Buruh Kepada Adik-Adiknya yang digarap Widji Thukul pada 6 Mac 1986 di Semarang, sasterawan dan aktivis hak asasi yang gagah melawan penindasan itu menulis:

"Rasa dosa membuat tidurku seperti buronan

tanggungjawab yang kutinggalkan

menjadi bayangan memburu pikiran

sebelum tidur aku selalu merasa persis bajingan

maka kuputuskan: aku harus pulang.”

Titipan sepenggal pesan dalam puisi itu memang tajam mencucuk-cucuk fikiran apabila kita terkenang bagaimana kesalahan seseorang manusia dibeza-bezakan oleh statusnya dalam masyarakat.

Bagi orang biasa, kesalahan apa pun mesti dihukum, manakala yang berjawatan seperti menteri, isu itu akan dipusing-pusingkan sebagai jalan penyelamat.

Lebih malang kesalahan yang dilakukan orang berjawatan disakralkan dengan kisah-kisah dalam al-Quran.

Widji Thukul bukan hanya seorang aktivis hak asasi yang bermati-matian memperjuang keadilan. Dia malah seorang sasterawan yang berani mencabar tirani dengan sajak dan puisi yang gagah melawan.

Pada 1998 - sebelum dihilangkan dalam operasi Kudatuli - dia pernah berkeliling banyak daerah dan wilayah. Bersama-sama puisinya, Widji Thukul menjelajah ke segenap pelusuk tanah tempat dia dilahirkan.

Semua itu dilakukannya semata-mata untuk membangkitkan kesedaran rakyat iaitu keluar dari ketakutan dan pembodohan kerajaan.

Kerasukan, meleleh air liur

Amat sukar sekali untuk melihat seorang menteri negara ini secara terbuka membuat permohonan maaf kemudian secara sukarela melepaskan jawatan sebagai tanda mengambil tanggungjawab atas kesalahan yang dilakukannya.

Sangat sukar untuk membayangkan situasi sebegitu terjadi di negara tercinta ini walaupun Rukun Negaranya meletakkan dasar percaya kepada tuhan di kedudukan teratas, sambil mengaku bersetia kepada raja dan negara, bersaksi untuk mendaulatkan undang-undang dengan memandang tinggi akan keluhuran perlembagaan bersama segala kebesaran citra budaya terhadap kesopanan dan kesusilaan.

Semua itu tetap gagal melahirkan warga budiman yang berintegriti tinggi dan memiliki sikap bertanggungjawab. Ini adalah suatu petaka.

Meskipun timbul beberapa susuk agamawan politik yang berdiri tanpa henti mempertahankan kesalahan menteri, ia tidak akan dapat menidakkan kebenaran dan realiti bahawa negara ini sedang dirosakkan.

Orang-orang tua dalam kerajaan pula selalu terlepas pandang akan kerosakan yang kian membinasakan itu. Hal itu kerana mereka semuanya kerasukan dengan pilihan raya dan undi.

Dalam kepala mereka hanya ada bayang-bayang kemenangan untuk jadi kerajaan dan mendapat jawatan menteri. Sebahagian yang lain pula khayal dengan scheme of things sambil meleleh-leleh liur melihat kerusi exco atau elaun-elaun GLC.

Sebab itu kita jangan terkejut apabila ada timbalan menteri memberikan keterangan salah waima dalam Dewan Negara yang mulia itu. Ia adalah salah satu isyarat kepada kebinasaan yang sedang kita tempa untuk masa depan.

Ia memburukkan lagi kerosakan yang dinaratifkan sebagai suci dalam insiden keingkaran seorang menteri mentaati peraturan negara dalam mengekang Covid-19.

Memanglah dia bukanlah satu-satunya menteri yang mengingkari SOP.

David Clarke itu Menteri Kesihatan New Zealand, Zane DeSilva pula Menteri Pelancongan dan Pengangkutan Bermuda, Dara Calleary itu Menteri Pertanian, Makanan dan Marin Republik Ireland, Wayne Caines Menteri Keselamatan Bermuda serta Carlos Kingsley Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Ghana.

Mereka itu tidak mengucap dua kalimah syahadah. Mereka itu bukan bangsa terpilih seperti Melayu. Mereka juga 'liar' kerana melanggar SOP.

Bezanya, mereka mengambil tanggungjawab dan melepaskan jawatan masing-masing. Maknanya mereka dengan sukarela menggugurkan segala keistimewaan dan kedudukan yang ada kerana - moralnya - mengakui sesungguhnya bersalah.

Mereka tidak tergamak menghadapi rakyat dalam keadaan bersalah.

Pulang ke tradisi Melayu

Berbeza dengan politik Melayu Islam di negara ini. Tanpa sedikit pun menampakkan rasa kesal, ada menteri yang sebaliknya bersilat menyalah orang itu dan orang ini, dan dengan angkuh berasa mereka tidak berdosa.

Selain enggan menanggapi pelanggaran SOP sebagai sesuatu yang penting, pemimpin pula melihat ia tiada kaitan dengan nilai moral. Lalu mereka secara dangkal mengaitkan kedegilan itu dengan peristiwa burung hudhud.

Hingga begitu sekali pemikiran rakyat hendak diperbodohkan.

Kerosakan-kerosakan beginilah yang selalu dipesan kepada seni untuk dilawan agar terbangkit kesedaran minda. Kita harus cepat membuat keputusan.

Kita harus pulang - bak kata Widji Thukul.

Justeru kita perlu berani menolak omongan sesat naratif politik menuding hudhud dan kembali kepada tradisi Melayu yang tak sedikit mengajak rakyat mendekati kearifan.

Sudah tiba masanya politik orang-orang tua dalam kerajaan dibersihkan dengan kebijakan. Biar orang muda tidak buta-buta mengikut kedangkalan yang ditunjukkan mereka.

Tradisi Melayu mengangkat kancil sebagai haiwan yang penuh dengan kebijakan sehingga ia dihikayat dan diperturunkan dari generasi ke generasi.

Salah satu kisah paling menarik untuk dikisahkan ialah Sang Kancil dan Monyet. Filem Negara Malaysia pada 1984 menerbitkan animasi Hikayat Sang Kancil.

Ditulis dan diarahkan oleh Hassan Muthalib, animasi berdurasi empat minit itu benar-benar memberi pengajaran tentang kebijakan. Kisahnya bermula pada waktu pagi yang tenang di tengah rimba yang aman. Di situlah tinggalnya Sang Kancil bersama sahabat karibnya, kura-kura.

Untuk bijaksana, menteri mungkin boleh berpijak di bumi nyata dan membaca semula Hikayat Si kancil dan Monyet sebelum asyik berterbangan di langit.

Belajarlah menjadi Sang Kancil sebelum menjadi hudhud.


HARIS HAUZAH ialah pengarang sengkek yang siangnya ada di Bangsar dan malamnya di Bukit Bintang.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS