Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Di antara emas yang 'diraup' di Raub dan bijih timah di La Root

ULASAN SENI | Daerah Raub di Pahang hari ini kurang mendapat perhatian, namun pada suatu masa dahulu, daerah berkenaan terkenal sebagai kawasan pemgeluaran emas.

Nama Raub itu sendiri dikatakan berasal daripada perkataan ‘seraup’.

Menurut legenda, suatu ketika dahulu dalam setiap timbunan tanah yang digali di Raub, maka di situ akan terdapat seraup emas di dalamnya.

Kerana terpesona dengan sejarah yang didengarnya, maka Liu Cheng Hua telah menghasilkan satu siri karya yang digelar sebagai The Gold Shaft.

Terdapat beberapa karya instalasi dalam siri The Gold Shaft yang dipamerkan dalam dan luar negara.

Liu merakam kembali sejarah kegemilangan Raub dengan menggunakan keratan buluh yang diambil dari daerah tersebut.

Ia kemudian dibalut dengan daun emas sebagai karya utama beliau.

Sebelum itu, Liu menjadikan Larut - bandar tempat kelahiran beliau - sebagai subjek.

Ia dimulakan apabila beliau secara tidak sengaja melihat sekeping peta lama. Pada paparan peta itu, perkataan Larut dieja sebagai La Root.

Perkataan itu diambil daripada ejaan asal daerah berkenaan yang dikenali sebagai Sungai Laroot dan ia terletak dalam daerah Taiping di Perak.

La Root atau The Root membawa maksud asal usul, kampung halaman, punca, titik mula dan juga hakiki. Ia merupakan gambaran yang tepat bagi mengambarkan Larut.

Larut juga membawa makna "peleburan" yang sangat sinonim dengan bijih timah. Memang diketahui ramai, Larut merupakan satu daripada kawasan utama menghasil bijih timah, sama ada di peringkat Malaya atau pun dunia.

Daripada perusahaan bijih timah itu maka lahirlah beberapa kejadian utama dan penting di Tanah Melayu. Misalnya Pejabat Pos Dan Telegraf yang dibina pada 1884.

Pasukan polis yang kini dikenali sebagai PDRM itu ditubuhkan pada 1879, manakala landasan kereta api pertama pula dibina pada 1885. Semuanya dipengaruhi oleh perkembangan industi bijih timah.

Dikhabarkan ada sebanyak 40 perkara pertama dalam negara dimulakan di kawasan Larut - termasuk padang golf, pasukan bomba, lapangan terbang dan juga hospital.

Liau menjadikan segala informasi tersebut sebagai data dan selanjutnya mula ‘membina’ instalasi berpandukan maklumat yang dikumpul.

Walaupun karya-karya beliau mungkin dilihat amat dipengaruhi oleh mentornya iaitu seniman Zulkifli Yusoff namun Liu kini mula menapak sebagai seorang seniman instalasi yang mempunyai jati diri yang kuat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS