Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Di saat ada terpaksa jual instrumen, pemuzik kecewa dengan seloroh PM

Sejumlah pemuzik dan pemilik pusat hiburan menyuarakan pandangan terhadap seloroh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan pusat hiburan dan pub yang masih belum dibuka, di saat pendapatan mereka terjejas kerana perkara itu.

Mereka tampil memberi sokongan terhadap Presiden Persekutuan Industri Hiburan Malaysia Liew Poon Siak yang meluahkan perasaan kecewa semalam terhadap kenyataan diluahkan Muhyiddin.

Antaranya Felo Penyelidik di Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Adil Johan - yang juga pemain saksofon untuk Orkes Padu Nadir dan Azmyl Yunor.

“Rakyat Malaysia cepat mengakui kekayaan yang terdapat dalam kepelbagaian budaya kita, tapi cepat pula lupa perbezaan unik seperti ini hadir dengan adanya toleransi terhadap kepercayaan dan amalan individu yang berbeza-beza.

“Keputusan untuk mengekalkan penutupan industri kelab malam dan pub di Malaysia adalah satu contoh keputusan yang dibuat dengan tahap toleransi rendah terhadap kepelbagaian budaya dan ekonomi kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Adil berkata, rakyat Malaysia perlu mengakui bahawa industri kelab malam dan pub bukan semata-mata tempat untuk orang bukan Islam minum minuman keras.

“Hakikatnya, lokasi seperti ini menjadi tempat penting untuk melebarkan jaringan dan mengekalkan hubungan sosial yang baik di kalangan rakyat Malaysia. Ia tempat di mana penghibur dan pemuzik, sama ada beragama Islam atau tidak, mencari pendapatan.

“Ia juga tempat yang menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada ramai profesional makanan dan minuman (F&B) di kalangan orang Melayu-Islam dan Bumiputera bukan Melayu," katanya lagi.

Azmyl Yunor

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, bar dan pub masih tidak dibenarkan beroperasi,

Liew dalam kenyataan semalam berkata perniagaan itu, yang menyumbang kepada ekonomi negara, kini bergelut untuk terus bertahan.

Dia turut mendesak Muhyiddin agar menarik balik kenyataannya serta menunjukkan keprihatinan terhadap situasi yang dihadapi mereka.

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tersebut ketika ucapannya di Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di ibu negara pada 1 September lalu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas kerajaan membuka hampir semua sektor semula.

“Yang tak buka hanya kelab malam dan. Saya fikir kalau tak buka selama-lamanya pun bagus juga kot,” katanya sambil tersenyum.

Dalam penjelasannya, Muhyididin berkata: “Kerana ia sukar untuk mengekalkan penjarakan sosial dengan alasan yang jelas.”

April lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri turut mengundang kritikan pemuzik yang menyifatkan kerajaan mempunyai kefahaman cetek mengenai industri seni apabila menyatakan penggiat seni tidak mempunyai masalah untuk mengadaptasi keadaan ekonomi yang sukar.

Seorang lagi penggiat dan penyokong industri, iaitu editor majalah The Musician, Dave Avran turut menyuarakan pandangannya.

“Kesulitan ekonomi disebabkan wabak ini memberi kesan buruk kepada kelab, pub dan pemuzik. Beberapa pub dan kelab yang mempunyai dapur mengubah suai modus operasi menjadi restoran dan dibuka semula tetapi banyak yang telah tutup.

“Pemuzik persembahan secara langsung hidup dengan gaji harian tanpa KWSP, Perkeso, insurans dan faedah perubatan. Majoriti tidak mempunyai wang simpanan atau kerja tetap," katanya.

Katanya lagi, segelintir pemuzik terpaksa menjual peralatan muzik untuk meneruskan kehidupan sementara yang lain beralih arah menjual makanan atau barang-barang lain di bazar.

Pada Mei lalu, Presiden Malaysian Buskers Club Wady Hamdan menganggarkan industri itu kerugian lebih RM10 juta dalam dua bulan pertama penguatkuasaan PKP.

Sementara itu, bekas anggota kumpulan rock Lost Souls dan bekas pemilik pub Jalan Gasing Ol'Skool, Calvin Gunaratne berkata mereka yang terlibat dalam industri itu perlu menyuarakan pendirian mereka.

“Bodohlah jika kita membiarkan kerajaan menentukan bagaimana kita menjalani kehidupan kita berdasarkan pemahaman moral yang sempit.

“Sekiranya kita tidak tahu bagaimana untuk menyuarakan pendirian, maka selamat tinggal buat selama-lamanya untuk industri hiburan di Malaysia," katanya lagi.

'Cari jalan baru'

Azmyl Yunor pula merasakan pemuzik perlu mencari jalan untuk melakukan inovasi.

"Bagi mereka dalam muzuk bebas/bawah tanah, saya lihat ini sebagai waktu yang baik untuk fokus kepada penciptaan dan penyesuaian karya ke suasana digital.

"Kita perlu gunakan masa sekarang untuk sesuatu yang membina, memandangkan persembahan secara langsung, iaitu perkara utama dalam komuniti ini, telah terjejas," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Adil berharap nilai sosial dan budaya persembahan secara langsung akan diiktiraf.

"Venue seperti itu adalah bahagian penting dalam ekosistem perniagaan, hiburan dan F&B di Malaysia...Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat boleh diamalkan dan penjarakan fizikal boleh dikekalkan," katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS