Pelakon dan pengacara Mira Filzah sah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, di sebuah pusat konvensyen di Bukit Kiara hari ini.
Mira atau nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman dan Emir dinikahkan bapa Mira, Badioezaman Ab Khalik pada jam 8.58 malam dan majlis diadakan mengikut rutin normal baru.
Ia turut disaksikan ibu pengantin lelaki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mastura Mohd Yazid dan ibu Mira, Faizatul Akmar Hisan.
Majlis dihadiri kira 250 tetamu merangkumi anggota keluarga dan teman rapat pasangan berkenaan.
Pada majlis itu, rombongan pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas dan sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang daripada pengantin perempuan. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Mira mengucapkan syukur majlis berlangsung sempurna seperti dirancang.
"Walaupun sudah bergelar isteri, Mira akan terus menyambung karier lakonan seperti biasa.
"Mira ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan yang diberi seawal kerjaya Mira sehingga hari ini.
"Doakan yang terbaik untuk Mira dan Emir," katanya dipetik BH Online.
Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan Julai lalu selepas hampir setahun berkenalan.