Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak hina nyanyikan semula lagu orang lain, kata Dina Nadzir

Dina Nadzir tidak menganggap hobi barunya - membawakan semula lagu (cover song) artis yang lebih muda - memberi kesan negatif dan merendahkan reputasinya sebagai penghibur yang sudah berkecimpung 16 tahun dalam industri.

Dina turut menganggap hobi baru itu - yang bermula sejak negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac lalu itu sebagai kegiatan menang-menang buatnya meneruskan kelangsungan karier.

“Saya tahu agak lambat untuk memulakan aktiviti seperti ni. Ia disebabkan saya tak didedahkan dengan maklumat betul selain khuatir sekiranya ia melanggar mana-mana hak cipta penyanyi lain.

“Tapi, saya tak anggap ia suatu perkara memalukan langsung atau merendah-rendahkan reputasi sekiranya menyanyikan mana-mana lagu bakat baru digelar budak baru nak up (BBNU).

“Bukannya nak menaikkan populariti sesiapa kerana saya sendiri pun perlukan mereka dan belajar perkara baru dalam muzik. Jika dapat berkolaborasi lebih bagus, “ katanya kepada Malaysiakini.

Dina, 35, ditemui pada majlis pelancaran pasar raya Baloy di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Faradina Mohd Nadzir itu yang juga penyampai radio di Era FM beranggapan, faktor kerjayanya sebagai juruhebah mungkin membantu dia untuk lebih bersikap terbuka.

Cadang buka 100 kedai

“Apabila bekerja sebagai penyampai radio dan dengar lagu geng BBNU, memang ada rasa teruja sekalipun saya tak minat penyanyi tersebut, asalkan lagu dinyanyikan sedap pada halwa telinga.

“Jika saya berjumpa artis baru secara berdepan-depan pun misalnya K-Clique, ada perasaan star struck... yelah dah duduk dalam akuarium (konti radio),” katanya berseloroh.

Pun begitu, Dina mengakui, menyanyi lagu penyanyi lain bukanlah satu-satunya aktiviti yang menarik minatnya sewaktu berkurung di rumah semasa PKP dulu.

Johan Malaysian Idol 2004 itu berkata, dia turut 'jatuh cinta' dengan platform podcast yang boleh membuka ruang untuknya berbicara topik-topik sensitif sesuai untuk pendengar berusia 18 tahun ke atas.

“Biasanya ketika kita menjadi semakin dewasa ada perkara yang sesetengah individu berasa segan untuk tanyakan pada ibu dan bapa mereka.

“Jadi kami buka ruang untuk berbual mengenai perkara seperti tu. Selain saya, antara selebriti lain akan kendalikan ruangan itu ialah Adeep Nahar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Baloy, Dina - yang diundang bagi memeriahkan acara - berkata, pasar raya berkenaan meraikan pembukaan cawangan Member Mart ke-46 dengan menawarkan pelbagai barangan runcit harian dengan harga berpatutan.

“Baloy mula beroperasi setahun yang lalu dan merancang untuk membuka 100 buah kedai menjelang Disember ini dan ia menawarkan harga yang sangat rendah menyaingi harga di pasaran,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS