Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Alina nak ajar kanak-kanak mengaji lepas pembedahan mata berjaya

Menggunakan mata yang dikurniakan Allah untuk membaca al-Quran dan kemudian memanfaatkan ilmu yang ada agar kemahiran berkenaan dikuasai kanak-kanak adalah rancangan penyanyi Alina Hassan jika pembedahan yang akan dilaluinya tidak lama lagi berjaya dijalankan.

Kata Alina dia mengalami masalah katarak pada mata kanannya sejak sembilan tahun lalu.

Justeru jika ia berjaya dibuang dalam pembedahan akan datang, ada rancangan segera yang mahu dilakukannya.

“Insya-Allah, semoga dipermudahkan proses pembedahan tu nanti. Apabila kedua-dua mata berfungsi dengan baik, senang saya nak baca al-Quran.

“Baca al-Quran memang kewajipan sebagai seorang Muslim, tapi apa yag lebih penting ialah saya nak ajar kanak-kanak mengaji,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lebih daripada itu, jika ada permintaan ramai agar Alina meluangkan masa untuk mengajar mengaji, dia akan berasa lebih gembira kerana ia akan membantu menampung keperluan hidupnya selepas memperoleh kembali penglihatan yang baik.

Alina dijadual menjalani pembedahan tersebut minggu ini.

Menceritakan pengalamannya mengajar mengaji, Alina berkata, ia ditimba sewaktu dia menetap di kuaters bersama suami yang juga guru sekitar 2004 dulu.

“Saya pernah mengajar budak-budak mengaji di situ,” katanya.

Tak pernah terlintas di hati

Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1996 itu turut meluahkan perasaan syukur apabila penyanyi Siti Sarah Raisuddin sudi menaja pembedahan mata kanannya.

“Sebenarnya kedua-dua mata saya ada masalah katarak, tapi bahagian kiri sudah dibuang terlebih dahulu di bawah tajaan sebuah bank sekitar 2010.

"Saya bersyukur kerana mendapat bantuan itu walaupun pada ketika itu saya cuma bekas pekerja mereka,” katanya.

Terdahulu, kisah pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 itu yang menghuni bilik sempit - seluas 1.5 meter x 2.4 meter - di rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur mengundang perhatian umum.

Penyanyi lagu Gelombang itu juga diberitakan mengambil upah membeli barangan keperluan harian penduduk sekitar tempat tinggalnya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai sumber pendapatan.

Nasib baik kemudian menjengah Alina apabila dia ditawarkan untuk mendiami salah satu kediaman di Projek Perumahan Rakyat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Setapak, Kuala Lumpur dengan kadar bayaran RM124 sebulan.

Dia yang menyewa bilik berkenaan sejak setahun lalu berkata mula mengenali Siti Sarah sewaktu penyanyi berkenaan menjadi mentornya dalam Mentor Otai 2018.

“Tak pernah terlintas di hati ingin meminta-minta atau berharap ada orang ingin menaja pembedahan tu sebab memang saya cuba usaha sendiri kumpul duit sedikit demi sedikit," katanya.

Alina juga berkata tidak ada orang yang tahu mengenai masalah matanya sehinggalah cara dia menuruni tangga dengan perlahan-lahan malah ada ketika hampir terjatuh, barulah masalah berkenaan disedari.

“Apabila mereka tanya, saya kata memang tak berapa nampak sejak lama,” katanya yang turut mencari rezeki dengan menjadi penyanyi di kawasan kendera saji di Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS