Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Entah apalah gunanya untuk kata-kata indah itu dituliskan. Tak tahulah apa faedah maka puisi-puisi itu digarap kemudian berdegar-degar pulak orang di sini sana deklamasikan untuk mengenang-ngenang hari kemerdekaan.

Tidak pernah akan sesiapa dapat melupakan peristiwa berdarah paling menyakitkan yang berlaku di Melaka pada tanggal 24 Ogos 1511.

Sesungguhnya ia adalah episod permulaan bagi tanah Melayu ini dirampas dan dijarah dengan suatu pengalaman panjang penjajahan demi penjajahan.

Dari situ cerita penjajahan di Tanah Melayu bertukar-tukar tangan. Selepas Portugis, pada 1641 ia dijajahi pula Belanda. Sebelum tanah ini pada 1824 diserah ke tangan British melalui Perjanjian Inggeris-Belanda.

Sesudah itu Jepun pula datang memulakan cengkaman.

Tulisan ini enggan menyentuh susuk bernama Si Kitul - si pengkhianat yang bertanggungjawab memulakan peristiwa kejatuhan kerajaan Melaka yang gah sebagai empayar selama 110 tahun.

Tumbangnya kerajaan Melaka pada 1511 di tangan Portugis adalah atas kebijaksanaan Alfonso de Albuquerque memanfaatkan konflik politik dalaman negeri itu melalui suatu gerakan pengkhianatan.

Justeru tulisan ini akan dihalakan pada persoalan dan jawapan mengapa pengkhianatan diterima dan tiba-tiba pula mahu dianggap sebagai langkah menyelamatkan negara.

Belum ramai dapat bezakan

Dunia Melayu sememangnya ada banyak sekali kisah pengkhianatan. Oleh itu melihat dunia politik Melayu yang berlaku hari ini meromantiskan pengkhianatan dengan istilah penyelamatan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Bukanlah menjadi suatu kepelikan apabila melihat kuasawan Melayu melunakkan segala kerja keji jijik pengkhianatan menjadi perjuangan yang dihalalkan.

Usaha itu tidak ubah seperti cara mereka menyucikan segala macam najis korupsi dan kekotoran skandal dengan label dan penjemanaan semula atas nama kebajikan, anak yatim dan sedekah jariah.

Entah di mana silapnya, tidak sedikit orang Melayu yang akur, menerima dan percaya terhadap seruan: "Kami berkorban (melompat parti) untuk menjadi penyelamat bagi menentukan kuasa membela rakyat".

Entah kemerdekaan apa yang hendak dirayakan. Nampaknya memang masih ada ramai orang Melayu yang belum mampu membezakan kelakuan menyelamat dan mengkhianat.

Barangkali semua ini berlaku atas sebab pengabaian umat Melayu pada pelbagai jenis kesenian. Akibat wayang kulit, mak yong, hadrah, berendoi, main puteri, jikey, menora, sandiwara dan bangsawan yang lama disudutkan daripada kehidupan orang Melayu.

Memang ada ketikanya seni yang dilarang dan diharamkan, tetapi pengkarya masih tetap berkarya. Seniman masih tetap terus membikin ratusan arca dan ribuan lukisan. Pada masa sama pemikiran orang Melayu terus-menerus - secara politik dan sistematik - dikhianati dengan pembodohan.

Realiti orang Melayu tidak menghargai kesenian sebagai suatu kebijakkan adalah suatu kebenaran yang meresahkan. Hakikat orang Melayu yang keterlaluan mempercayai politik berbanding kesenian cukup mendukacitakan.

Orang Melayu enggan percaya bahawa seni mampu mewaraskan fikiran bagi meluruskan tipu daya politik yang penuh dengan liciknya pengkhianatan.

Malangnya orang Melayu tidak memanafaatkan keindahan makna tarian-tarian warisan. Orang Melayu tidak pernah mahu mengambil iktibar daripada ilmu yang ada pada lirik dan lagu yang mereka dengarkan. Atau mencipta makna dari filem-filem yang mereka saksikan.

Benda menyakitkan mata

Malah segala apa yang mereka baca dari buku-buku yang pernah ditulis pun tidak mereka ingin mengambil pesan.

Bagi orang Melayu, seni dan kesenian itu hanyalah hal-hal “lagha” hiburan yang tak mendatangkan sebarang keuntungan.

Dulu-dulu ada banyak tulisan yang dikarang dalam Mastika, Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang membangkitkan kesedaran. Seluruhnya ada jasa besar membangkitkan kesedaran serta meluruskan pandangan terhadap isu penjajahan.

Orang Melayu hari ini harus kembali menghargai dan mempelajari seni. Kerana Melayu hari ini bukan lagi Melayu yang dulu.

Menteri dan kuasawan Melayu yang memegang tampuk kuasa kini bukan lagi mereka yang mempunyai pemikiran seperti Tunku Abdul Rahman yang pernah berkata pada 27 Ogos 1969: "Kita biasanya terlupa bahawa, selain daripada hidup di atas muka bumi ini, manusia itu juga hidup bermasyarakat dan masyarakat tersebut memiliki budaya. Hanya dengan mempunyai budaya manusia di atas muka bumi ini berupaya ditadbir serta memiliki kehidupan yang lebih bermakna. Muzik dan drama adalah dua daripada sekian banyak manifestasi penting budaya. Ianya penting kerana kedua-duanya mewakili ekspresi yang berasal daripada kekuasaan seni kreativiti manusia.”

Budaya yang bapa kemerdekaan itu tekankan ialah seni dan kesenian.

Namun pada era ini ada menteri Melayu melihat sebuah seni arca sebagai suatu yang menyakitkan pandangan lalu berasa ia perlu segera dirobohkan.

Maka arca Puncak Purnama yang dihasilkan Syed Ahmad Jamal pun dirobohkan tanpa mendapat banyak perhatian.

Protes yang berlangsung ekoran langkah kerajaan merobohkan Puncak Purnama pada Julai 2016  

Demikian juga apabila Balai Seni Negara menurunkan empat karya seni Ahmad Fuad Osman yang sedang dipamerkan sebelum ia akhirnya dikembalikan ke tempatnya.

Tiada siapa lagi mahu mengangkat dan membesarkan karya-karya seni penulisan yang melawan. Tiada lagi Anak Mat Lela Gila atau Pahlawan Rimba Malaya. Tiada juga Sungai Mengalir Lesu, Sandera atau Tulang-Tulang Berserakan untuk diangkat sempena menyambut hari-hari kemerdekaan.

Akibatnya orang Melayu hari ini keciciran dari aspek kewarasan. Mereka gagal merenung sejarah dari kaca mata kesenian yang sering menimbang kebenaran dan kebatilan melalui neraca kebijaksanaan.

Orang Melayu yang mahu merdeka lebih 63 tahun dulu tak serupa lagi dengan Melayu yang mahu merdeka hari ini. Melayu yang mahu merdeka dulu adalah Melayu yang terdesak mahu berdiri di atas kaki mereka sendiri, sementara Melayu hari ini ialah Melayu yang mahu merdeka daripada puluhan tuduhan rasuah dan salah laku yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Orang Melayu hari ini dipimpin Melayu yang menyalahgunakan istilah pengkhianatan sebagai penyelamatan. Iaitu jenis kuasawan yang bebas melanggar perintah kuarantin 14 hari yang diwajibkan. Sedangkan ada warga ke Malaysia yang perlu mengeluar belanja sehingga RM2,100 sebagai kos menjalani kuarantin di hotel tanpa dibenarkan sesiapa melawat.

Pesan-pesan pantun, gurindam, seloka entah dalam gerobok buruk mana kita simpan. Hinggakan Melayu Islam hari ini tidak lagi tahu erti keadilan, sementara kuasawan Melayu sibuk mengubah makna pengkhianatan kepada penyelamatan demi kekuasaan.


HARIS HAUZAH ialah pengarang Melayu yang benci kepada klisenya dunia politik Melayu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS