Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | “Gila! Manusia sememangnya gila!

“Masyarakat tak pernah waras dalam apa keadaan pun. Lihat saja budak yang mencuri gula di kedai Imam Hadi tempoh hari. Separuh mati mereka kerjakan dia, sikit lagi budak tu nak hilang nyawa.

"Tapi dengan pencuri yang gelapkan duit berjuta-juta Imam Hadi dengan kawan-kawan dia sokong pula. Bermati-matian puja bagai nak gila,” termengah-mengah Haris bercerita. Turun naik dadanya menyabarkan diri sampai merah padam muka dia.

“Aku sepatutnya dah mati. Malangnya aku diselamatkan oleh masyarakat yang gila.”

Kejadian bunuh diri kebelakangan ini kian menjadi-jadi. Baru-baru ini ada seorang bekas juruterbang menamatkan riwayatnya sendiri. Sebelum itu ada lelaki juga mahu membunuh diri tetapi dia tidak mati.

Sebaliknya penganggur yang mengaku mengalami kemurungan itu dihadapkan ke mahkamah pula. Dia dijatuhkan hukuman penjara sebulan.

“Entah apa sebenarnya yang dah jadi dengan kita.

“Mengapa mereka yang sakit terdesak dalam hidup lalu memilih untuk meragut nyawa dilukakan lagi dengan hukum sedemikian rupa?"

"Atau ayat yang betul ialah: Apa yang dah jadi dengan aku sebenarnya?

“Mengapa aku tak mahu hidup. Tak takutkah aku dengan seksa neraka? Ke mana aku campakkan agama yang aku mengaku percaya?"

Haris merenung lama lukisan Ward in the Hospital in Arles dan Garden of the Hospital in Arles di komputer. Sambil dipuput syahdu lagu Payung Teduh berjudul Rahasia.

Ada suatu cerita tentang gila. Juga kisah cubaan bunuh diri yang mustahil untuk tidak diceritakan semula. Ia adalah kisah seorang seniman agung bernama Vincent van Gogh yang dikata orang mengalami masalah gila.

Terdesak disukai masyarakat

Sepanjang hayat van Gogh, dia tak pernah berhenti berutus surat dengan adiknya, Theodore. Keakraban hubungan mereka sebagai saudara kandung cukup luar biasa. Selepas pemergian van Gogh, Theo hilang semangat untuk meneruskan hidup lalu mati selang beberapa bulan kemudian.

Dari surat-surat mereka berdua tercungkil sejumlah rahsia. Surat-surat itu tidak hanya mendedahkan betapa seksanya van Gogh sebagai pelukis yang disisihkan masyarakat.

Dari lembar-lembar surat itu juga dunia jadi sedar betapa van Gogh juga adalah seorang penulis yang tak kurang hebatnya.

Sunyi dalam ketersendirian membuatkan dia cemas. Hinggalah pada pertengahan kegusaran itu fikirannya jadi benar-benar kusut. Ketakutan dan kerisauan yang meresahkan dia tidak mengambil masa yang lama untuk bertukar menjadi sengsara.

Sampai dia buntu kecewa akibat tidak berdaya menghasilkan apa-apa karya yang benar-benar sempurna menurut padangannya. Dengan lambakan lukisan yang tak dibeli sesiapa, van Gogh terdesak untuk diterima dan disukai masyarakat melalui karya-karyanya.

Sejak itu dia kerap bertanya-tanya. Apa adakah perasaan yang ditanggunginya itu adalah suatu anugerah seni yang sangat dia perlukan dalam kerja-kerja seninya.

Van Gogh diakui dunia sebagai salah seorang seniman agung hanya setelah dia meninggal dunia.

Itulah realiti tetapi dia tentunya tidak akan percaya kerana sepanjang hayatnya van Gogh ke sana ke ini membawa berus dan cat dengan memikul kanvas untuk melukis apa sahaja yang dia jumpa. Dia tak pernah mendapat perhatian sesiapa.

Sebagaimana artis-artis lain yang hidup pada zamannya, sesekali van Gogh pergi ke galeri bar. Di situ dia menghabisi masa melihat karya-karya terpilih yang digantung untuk diperkata sesama mereka.

Di sana van Gogh juga bertemu lukisan The Madness of Hugo van der Goes karya Emile Wauters. Dalam suratnya kepada Theo, van Gogh menggambarkan perasaannya terhadap pelukis karya tersebut.

Menurut van Gogh, Emile Wauters terseksa. Kesakitannya itu membawa dia melukis ke biara untuk mendapatkan ketenangan daripada terus diseksa oleh pemikiran melankolik seni yang terbina.

Dari situ van Gogh menghidu dan menerima takdir bahawa seorang seniman hebat harus menderita secara mental.

Gejolak mental

Bukan dirinya saja yang dianggap gila, lebih daripada itu, hasil karya van Gogh dianggap tidak menarik dan tidak sempurna jika mengikut mata orang pada zaman berkenaan.

Lama dia menanggung sengsara, hingga Theo tidak punya banyak pilihan kecuali terpaksa memujuk abangnya agar mendapatkan rawatan di hospital gila.

Dalam karyanya Self-Portrait With Dandaged Ear dan Self-Portrait With Bandaged Ear And Pipe yang dihasilkan pada 1889, van Gogh seakan-akan mahu menggambarkan kepada masyarakat tempatnya tentang gejolak spiritual mental yang dia rasa sewaktu pertama kali memandang lukisan The Madness of Hugo van der Goes.

“Entah mengapa lepas van Gogh mengerat habis seluruh telinga dan mengirimkan cebisan itu kepada teman-temannya yang bekerja di rumah pelacuran.

“Atau agaknya itu aksi seni van Gogh terhadap teman-teman dan masyarakatnya yang tak pernah cukup mendengarkan suara dia agaknya," Haris terus bertanya-tanya sambil tenung lukisan van Gogh di komputer.

Dua karya potret diri tanpa sebelah telinga itu memang ada makna yang mahu disampaikan van Gogh kepada masyarakatnya. Dia ingin memberi tanda bahawa masyarakat Arles yang sering mentertawa, tidak menghargai bakat serta tidak berlaku adil terhadap sikap, pemikiran dan dirinya yang sakit derita adalah lebih jahat dan lebih gila.

Kekecewaan itu diakhiri van Gogh dengan satu tembakan sepucuk revolver Lefaucheux à broche di dadanya.

“Lalu mengapa manusia dewasa yang dibuang kerja, hidup ketakutan tanpa wang, tanpa makanan, teman dan keluarga yang enggan menyusahkan sesiapa lalu memilih mati itu dihukum dengan denda dan penjara?

“Aku sepatutnya dah mati, tapi aku diselamatkan oleh masyarakat yang gila. Kalau tidak, tak adalah rakyat biasa yang turunkan pelitup muka untuk seketika mendapat saman, sementara menteri yang tidak memakai pelitup muka langsung, selamba terus mencontohkan macam-macam perkara gila pada penyokong dia.

“Kita semuanya gila, sama macam masyarakat yang membunuh van Gogh di Arles sana," kata Haris.


HARIS HAUZAH adalah lelaki yang bercita-cita untuk jadi lukisan tapi dapat jadi tulisan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS