Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas jangan pilih bulu bagi dana, kata penerbit filem

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diseru tidak bersikap memilih bulu dalam membahagikan dana antara syarikat produksi.

Penerbit filem dan rancangan televisyen, Razalif Mohd Zain berkata, sikap tidak adil boleh mengakibatkan banyak syarikat produksi daripada kalangan anak muda berdepan kesukaran untuk berkembang maju.

“Saya seru Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Finas jangan pilih bulu. Bagilah (peruntukan) adil kepada semua pihak yang layak.

“Saya berharap Finas dapat bersikap adil dan saksama selain mengelak daripada memberi dana kepada syarikat besar dan kroni,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelas Razalif - yang pernah bekerjasama dalam pembikinan filem Taikun pada tahun 2013 dan beberapa program televisyen itu - generasi muda yang terlibat dalam dunia pembikinan filem sebenarnya kebanyakan mereka dilihat mempunyai bakat besar.

“Anak muda yang menjadi penerbit boleh pergi jauh. Malah ramai berbakat dalam pengarahan dan penyuntingan filem. Tapi disebabkan kekangan bajet, ia mengakibatkan idea dan bakat mereka tersekat," katanya.

Razalif kini merupakan Presiden Metamorphosis Skills Sdn Bhd dan menumpukan kepada perniagaan pembuatan sarung tangan getah, hospital swasta, kolej kemahiran dan produk makanan sejuk beku.

Namun, kata Razalif, pihaknya masih tidak berputus asa dalam industri penerbitan filem dan drama.

Malah menurutnya, dia sedang merancang untuk pembikinan dua filem terbaru, bercorak aksi dan cinta selain mempunyai dua drama yang sedang menunggu giliran untuk ditayangkan di saluran televisyen (TV) tempatan.

“Saya akui saya tak banyak hasilkan filem tapi kita banyak bekerjasama dengan beberapa penerbit lain. Lepas Taikun, kami banyak fokus bidang pengurusan acara dan TV komersial.

“Sepatutnya kami rancang untuk terbitkan dua filem cinta dan aksi tapi gara-gara wabak Covid-19 semuanya tertangguh walaupun persiapan sudah dilakukan," katanya.

Tambahnya, dia menjangkakan penggambaran dua filem berkenaan akan bermula selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS