Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Saya hampir sewel berkurung, orang pakai gelang pink boleh pula berjalan-jalan'

“Jika boleh, individu ingkar arahan biar dipenjara 20 tahun,” kata pelakon Fatin Afeefa mengenai sikap segelintir rakyat Malaysia yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah selepas tiba dari luar negara.

Fatin mengeluarkan kenyataan itu ekoran bengang dengan sikap mereka yang begitu mementingkan diri sedangkan dia hampir jadi “sewel” memerap diri rumah kerana perlu mengikut arahan ditetapkan kerajaan.

“Mereka sangat pentingkan diri. Saya hampir jadi sewel disebabkan mental terganggu bersendirian jalani kuarantin di rumah selepas habis penggambaran produk Havaianas di Brazil.

“Saya sampai lakukan tiga kali ujian pengesanan Covid-19 bagi memastikan diri ni benar-benar negatif daripada menyebarkan wabak berkenaan kepada orang lain,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Fatin Nur Afifah Shamsudin itu, dalam tempoh berkenaan juga, dia terpaksa menahan diri daripada bertemu dengan dua orang anak serta ibunya.

“Saya ada mak yang sudah berusia dan anak-anak yang masih kecil, bimbang jika terjadi apa-apa kerana sistem imun mereka tak kuat.

“Tapi ada orang (individu pakai gelang merah jambu) boleh pula keluar rumah dan berjalan-jalan,” katanya.

Tak ada kejadian tak diingini

Pemilik nama sebenar Fatin Nur Afifah Shamsudin itu ditemui pada majlis pelancaran Havaianas Pavilion KL Grand Opening di Kuala Lumpur semalam.

Dia bertindak selalu duta jenama produk dari Brazil itu untuk tempoh hampir dua tahun. Turut hadir, pelakon Nelydia Senrose yang turut dilantik sebagai duta produk berkenaan.

Terdahulu, insiden beberapa individu yang memakai gelang merah jambu didapati mengingkari arahan kuarantin di rumah membangkitkan kemarahan orang ramai.

Gara-gara insiden berkenaan, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menetapkan rakyat Malaysia dan warga asing yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan bermula 24 Julai lalu.

Fatin, 26, berkata, dia dan kru penggambaran bertolak ke Brazil dua minggu sebelum arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 16 Mac lalu.

Mengulas pengalamannya menjalani penggambaran ketika Covid-19 sudah menular di negara orang, pelakon Tentang Bulan itu bersyukur apabila tiada perkara tidak diingini menimpa dirinya.

“Sebelum berangkat, ketika berada di lapangan terbang tanah air, anak perempuan saya bagi banyak cecair pembasmi kuman, memang terdetik juga perasaan bimbang nak pergi Brazil.

“Kami pergi ke Sao Paulo dan Rio de Jeneiro. Di sana, dua pengawal peribadi ditugaskan menjaga saya dan Nelydia selain kami juga amalkan penjarakan sosial.

“Ketika tu seingat saya mungkin baru ada 50 kes wabak berkenaan. Namun, bersyukur tiada apa berlaku dan kami pulang dengan selamat,” katanya.

Brazil kini menjadi negara kedua paling banyak mencatatkan kes positif Covid-19 selepas AS. 

Di sebalik imej sambanya, Brazil sudah merekodkan hampir 2.5 juta kes positif dengan hampir 90,000 kematian setakat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS