Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Achey berlapang dada teruskan Bocey tanpa pengganti Abam

Biarpun sudah enam bulan berlalu, Achey menegaskan tiada individu lain yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Abam dalam kumpulan Bocey.

Pelawak dan penyanyi itu berkata, dia dan seorang lagi anggota Bocey, iaitu Fad, berlapang dada sekiranya hanya mereka berdua perlu meneruskan legasi Abam dalam kumpulan berkenaan.

Katanya, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira bagaimana mereka melestarikan penjenamaan Bocey sejak ia ditubuhkan pada 2012.

“Saya dan Fad akan tetap teruskan jenama Bocey walaupun tanpa pengganti Abam. Kami tak peduli sama ada kumpulan ni masih memiliki penyokong ataupun tak, kelakar mahupun sebaliknya.

“Sekiranya menambah anggota baru bagi menggantikan Abam, kumpulan tu dah jadi bukan Bocey lagi seperti yang pernah dikenali peminat... kami tak mahu begitu,” katanya.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah ditemui pada majlis pelancaran produk pewangi terbaru jenama keluarannya, SugarBomb di Shah Alam baru-baru ini.

Abam meninggal dunia 10 Februari lalu dalam tidur akibat demam panas di kediamannya di Gombak.

Jumlah tontonan agak tinggi

Pemilik nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan itu meninggalkan seorang balu, Siti Nurhidayah Mohd Ali dan seorang anak lelaki yang berusia setahun, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Mengulas perkembangan Bocey, Achey berkata, kumpulan itu kini sedang melangkah ke fasa baru iaitu ‘berjinak-jinak’ dengan platform media sosial seperti YouTube dan Facebook.

Menurutnya, melalui program sendiri yang diusahakan untuk peminat setia Bocey itu nanti, akan ada bahagian untuk disalurkan kepada keluarga Abam.

“Fad saja yang dah mulakan program di saluran tu. Tapi apa pun, kami tak lupa kepada keluarga arwah Abam. Diharapkan segalanya dipermudahkan dan rezeki tu nanti boleh kami kongsikan dengan keluarga dia,” katanya.

Sementara itu, Achey berkata, dia berusaha untuk menunaikan janjinya menyempurnakan tugas-tugas Abam yang masih belum terlaksana secara sukarela dan percuma.

Menurut Achey, hal itu termasuk ulasan untuk produk kurus meskipun tema berkenaan tidak bersesuaian dengan saiz fizikal badannya.

“Ia kurang sesuai untuk saya sebab saya memang kurus, justeru saya lakukannya bersama isteri. Alhamdulillah, jumlah tontonan agak tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya, dia tidak lupa untuk berhubung dengan balu Abam malah secara tidak langsung membantunya mempromosi perniagaan yang sedang diusahakan.

“Setiap minggu saya dan isteri akan berhubung dengan Nurhidayah. Ada kalanya kami sertai sesi live dilakukan supaya perniagaan dijalankannya meraih perhatian.

“Sekarang Nurhidayah berniaga cempedak goreng, durian dan buah-buahan. Apa yang saya boleh bantu biasanya adalah dari sudut promosi di media sosial, sebab kami tinggal berjauhan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS