Peranan industri kreatif yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi antara faktor yang diteliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaras hasrat kerajaan untuk meminda Akta Finas 1981 (Akta 244).
Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata ia akan dibincangkan secara lebih mendalam dan menyeluruh agar setiap pemain industri kreatif menerima manfaat mengikut situasi semasa.
Malah katanya akta itu juga harus digarap semula berlandaskan 'semangat Finas'.
"Kenapa (Finas) ditubuhkan? Kerana - antaranya - faktor pembangunan (industri kreatif), dan kedua adalah memelihara, menggalak dan memudahkan (pemain industri).
"Inilah perkara yang kita akan lihat dan kita harus akur dengan keadaan semasa dan juga perlu jangka apa akan datang pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Jelas Ahmad Idham, usaha penambahbaikan akta itu merupakan sebahagian agenda utama Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah sejak menerajui kementerian itu.
Ditanya sama ada tafsiran "filem" dalam akta itu perlu dikemas kini selaras kewujudan platform media baru, Ahmad Idham berkata, apa saja berkaitan akta itu akan ditambah baik termasuk sekiranya terdapat keperluan mengemas kini tafsiran mengikut kehendak semasa.
"Platform baru bukan perkara baru, teknologi bergerak mengikut peredaran masa seperti ketika radio dan televisyen naik (diperkenalkan) dulu jadi masalah dan turut menjadi propaganda.
"Ia merupakan norma dalam peredaran teknologi dan kita kena lihat apabila teknologi semakin maju kita tidak boleh terus meminda (sesuatu akta) pada masa itu tetapi kena melihat kepada kesesuaian," tambahnya.
Penting teliti garis panduan
Saifuddin semalam mengumumkan kerajaan akan meminda akta itu sambil menegaskan pendirian untuk mendukung prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.
Menteri itu turut menegaskan pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya, termasuk menghasilkan dan memuat naik video tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa Finas.
Khamis lepas, sebahagian daripada laporan mengenai jawapan Saifuddin di Dewan Rakyat berkaitan keperluan Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) untuk perfileman memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan beliau sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi serta polemik.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Media Baru dan Keusahawanan Kandungan, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka Mohd Hilmi Bakar berkata hasrat kerajaan untuk meminda Akta Finas itu wajar dan harus dimulakan dengan mengemas kini perincian definisi "filem".
Merujuk kepada definisi "filem pendek" dalam akta itu, katanya, ia terguna pakai kepada rakaman video peribadi seperti ulasan makanan atau produk yang dimuat naik menerusi media sosial.
“Akta ini digubal sejak tahun 1981, jauh sebelum kewujudan platform media sosial. Jelas sekali definisi filem dalam akta perlu dijengah semula,” katanya.
Tambah Mohd Hilmi, kerajaan juga perlu mengiktiraf peranan dan ciri-ciri platform media sosial dan digital kerana setiap pengguna platform itu bertindak sebagai pencipta kandungan (content creator), pengedar dan penyiar.
Justeru, kata beliau adalah lebih penting untuk kerajaan meneliti garis panduan mengenai ciri-ciri kandungan digital yang disiarkan di media sosial berbanding mengenakan lesen untuk menerbitkan sesuatu kandungan.
“Setiap hari ada sahaja kandungan baru disiarkan pengguna media sosial, nanti timbul persoalan (sekiranya lesen dikenakan kepada pengguna media sosial) mampukah manpower (penguat kuasa) dan peruntukan kita untuk mengesahkan semua video di platform digital,” katanya.
- Bernama