YouTuber terkenal, S Pavithra secara ringkas memberitahu dia memaafkan M Sugu sebagai jawapan selepas isu konflik dengan suaminya itu yang menjadi perhatian media serta bualan hangat sejak akhir-akhir ini.
Pavithra berkata, setiap yang berlaku semuanya berkaitan masalah keluarga dan dirinya sudah memaafkan suaminya atas apa yang berlaku.
“Saya maafkan suami,” katanya dipetik BH Online.
Menurut Pavithra, dia enggan memikirkan masalah yang berlaku sebaliknya berazam untuk memberi fokus kepada kehidupan mereka sekeluarga.
Selain itu, katanya, dia juga ingin kembali meneruskan program masakan di YouTube seperti biasa.
“Saya dan suami akan meneruskan kehidupan seperti biasa dan kami akan kembali bersama meneruskan rancangan masakan di YouTube pada bila-bila masa sahaja,” katanya selepas menjelaskan bayaran jaminan RM10,000 yang dikenakan ke atas suaminya di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Pavithra berharap agar tiada salah faham dan dia sendiri tidak mengambil hati atas komen dilemparkan netizen.
Dia meminta orang ramai tidak berhenti daripada terus memberikan sokongan terhadap program masakan mereka di Channel YouTube Sugu Pavithra.
"Saya sendiri tidak ambil hati atas apa juga komen diberikan netizen di media sosial, terus memberi sokongan kepada kami," katanya.
Sebelum ini, Sugu didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas dakwaan memiliki senjata berbahaya.
Sugu kemudian tiba di mahkamah sekali lagi pada kira-kira 3 petang tadi dengan memakai kemeja-T berwarna merah dalam keadaan bergari untuk menghadapi pertuduhan kedua, iaitu menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.
Sugu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.
Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Ogos sebagai sebutan semula kes itu.