Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Suami Pavithra didakwa miliki senjata bahaya

Suami seorang personaliti YouTube sensasi didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan memiliki senjata berbahaya pada Selasa lalu.

Tertuduh, M Sugu, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil. Dia didakwa di hadapan hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, Sugu yang merupakan bekas pekerja sebuah ladang estet di Sungai Siput dituduh memiliki sebilah sabit berukuran 66.040cm (26 inci) bertulis Tiger di parkir Wad Paliatuf PCU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jalan Raja Ashman Shah, Ipoh, kira-kira jam 6 petang pada 21 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6(1), Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail membantah sebarang wang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu lazimnya tidak ditawarkan jaminan.

“Senjata ditemui di tempat awam iaitu hospital yang merupakan satu tempat yang selamat.

"Tujuan (senjata) pula digunakan untuk kekerasan rumah tangga. Namun ia atas budi bicara mahkamah, dan sekiranya dibenarkan jaminan, saya memohon RM20,000 dikenakan,” katanya.

Ditahan di luar wad bersalin

Peguam Mahinderjit Singh yang mewakili Sugu pula memohon jaminan diberikan terhadap tertuduh memandangkan isterinya, S Pavithra, 28, telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Sungai Senam pada 22 Julai.

“Tertuduh juga mempunyai dua anak yang masih kecil dan kejadian itu merupakan sedikit salah faham. Isteri tertuduh juga turut hadir di mahkamah hari ini.

"Tertuduh juga sedia menerima syarat-syarat tambahan yang dikenakan bagi memastikan beliau hadir ke mahkamah,” katanya sambil menegaskan gelaran ikon itu adalah Pavithra bukan tertuduh, Sugu.

Bagaimanapun, Mohd Fauzi berkata kes ini bukan kerana gelaran ‘ikon’ tetapi atas sebab keseriusan kes.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan 17 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, Sugu tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan memakai kemeja T berwarna merah dan tangan bergari.

Pavithra yang baru-baru ini menerima pengiktirafan Ikon Anak Bandar Raya Ipoh 2020 oleh Majlis Bandaraya Ipoh turut hadir membawa peguam.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan Sugu dalam keadaan mabuk sambil membawa sabit mencari untuk adik iparnya kerana masalah keluarga.

Dia ditahan di luar wad bersalin hospital tersebut pada Selasa petang.

Kejadian itu berpunca akibat salah faham antara suspek dengan isterinya berkaitan satu majlis yang berlangsung di Ipoh Isnin lalu.

Perselisihan itu berlanjutan sehingga suspek datang ke hospital itu dalam keadaan marah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS