Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nabil mengaku takut, paranoid jika gelombang kedua Covid-19 datang

Nabil Ahmad mengakui enggan gelombang kedua pandemik Covid-19 berlaku di seluruh negara ini hingga ‘memaksa’ kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata pelawak dan pengacara terkenal itu, PKP mengakibatkan ramai orang kehilangan pekerjaan selain ekonomi negara menguncup susulan persekitaran global dan domestik yang mencabar.

Bercakap berdasarkan pengalaman, pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad itu berkata, dia adalah salah seorang daripada golongan yang terjejas.

“Ekonomi negara tak stabil disebabkan Covid-19 dan PKP kerana ramai rakyat dibuang kerja, ada orang pula perlu mula berniaga.

“PKP juga menyedarkan saya bahawa masalah penularan wabak menyebabkan tiada orang ingin menggunakan khidmat sebagai pengacara atau pelakon.

“Jadi memang saya takut dan paranoid sekiranya berlaku gelombang kedua Covid-19 secara berleluasa, sebab rasa tak mampu untuk pulihkan kadar kewangan sendiri,” katanya.

Nabil ditemui pada pelancaran perniagaan terbarunya iaitu produk minyak wangi dan pewangi kereta SugarBomb X LuPK di Ruang, Shah Alam semalam.

Ramai mengadu alami kesempitan

Menurut Nabil, 36, selama tiga bulan itu juga dianggarkan dia kehilangan lebih daripada 20 tawaran kerja membabitkan kerugian hingga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Menurut pengurus saya, semua majlis dibatalkan sampai bulan Disember tahun ni. Saya hanya masih bekerja untuk sebuah program hiburan di sebuah penyiar televisyen saja.

“Selainnya duduk habiskan masa di rumah. Situasi tu buat saya sungguh tertekan sebab memang jenis tak boleh duduk di rumah.

“Jika tak kerana moratorium dilaksanakan Bank Negara Malaysia, memang tak lepas ikhtiar hidup sebab kadar komitmen yang tinggi. Justeru, saya memang takut sekiranya PKP dilaksanakan kembali,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes positif Covid-19 dan kluster baru sepanjang tempoh PKP Pemulihan ini.

Muhyiddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak lalai kerana ancaman Covid-19 belum berakhir.

Semetara itu, mengulas perniagaan SugarBomb, pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, itu berkata, dia bersyukur apabila didatangkan peluang untuk bekerjasama dengan pelawak Achey Bocey untuk perniagaan berkenaan.

Katanya, perniagaan diusahakan itu bukan saja untuk menambah ekonomi dirinya tetapi pada masa sama membuka peluang pemuda-pemudi sekampung dengannya yang terjejas pendapatan atau kehilangaan pekerjaan ekoran Covid-19 menjana pendapatan.

“Ramai rakan-rakan di kampung yang saya kenal sejak kecil sering mengadu alami kesempitan hidup. Nak beli beras pun hingga perlu meminjam.

“Apa saya buat ni sebahagiannya untuk membantu mereka yang hampir 70 hingga 80 peratus kehilangan pekerjaan.

“Pergerakan terbaru mereka dalam menjana ekonomi keluarga adalah melalui perniagaan saya usahakan bersama Achey. Saya bersyukur jika dapat ringankan beban mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS