Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Enggan mengutamakan urusan duniawi semata-mata, Zizan Razak berhasrat menubuhkan sebuah yayasan bertujuan membantu meringankan beban ditanggung kanak-kanak kurang bernasib baik.

Kata pelawak dan pengacara terkenal itu, dia memasang impian tersebut selepas menyedari ramai dalam kalangan peminatnya terdiri daripada golongan cilik yang berdepan ujian hidup tidak disangka-sangka.

“Saya belum tubuhkan lagi, tapi saya ada berniat. Memang sudah lama berhasrat untuk menubuhkan yayasan begini, lagipun ni bukan soal duit, tapi soal hati.

“Sedar tak sedar ramai dalam kalangan peminat cilik yang kadang-kadang rezekinya Allah bagi begitu,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, pemilik nama Mohd Razizan Abdul Razak itu berkata, dia ingin mengimbangi bekalan untuk dibawa menuju ke alam abadi nanti.

“Kadang-kadang, kita jangan terlalu kejar duniawi sangat, justeru, saya fikir wajar ditubuhkan sebuah yayasan untuk membantu mereka,” katanya.

Pada Jun lalu, media melaporkan Zizan, 36, menunaikan hasrat peminat ciliknya, Puteri Nur Zulaika Abdullah yang berdepan masalah paru-paru kronik dan bergantung hidup dengan bantuan pernafasan untuk menemui artis pujaannya di sebuah hospital di Port Dickson.

Ketika mengadakan pertemuan itu, pelakon KL Gangster itu turut mengalirkan air mata sewaktu mendengar doa dititipkan adik berkenaan.

Zizan berharap rakan artis lain turut tampil ke depan menyokong usaha sedemikian agar dapat menggembirakan lebih ramai golongan sama yang memerlukan bantuan.

“Saya harap perkara sebegini tak jadi benda remeh, biar ia jadi tanggungjawab dalam kalangan selebriti supaya boleh melengkapi amalan akhirat kita semua, insya-Allah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS