Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tom Abang Saufi rancakkan BSN dengan gabungan fesyen, visual

Pelantikan pereka fesyen Tom Abang Saufi sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) menyaksikan agensi itu sekali lagi diterajui wanita buat pertama kali sejak 13 tahun lalu.

Tom berkata, dengan pelantikan tersebut beliau akan cuba memahat sejarah dengan mengangkat martabat seni negara melalui gabungan fesyen dengan visual.

“Seboleh-bolehnya, antara matlamat dan misi saya sebaik memegang jawatan ni adalah untuk menyuntik semangat dan memberi aspirasi kepada golongan muda khususnya untuk menjadi seorang pereka fesyen mahupun pelukis.

“Walaupun saya masih belajar mengenai seni visual, saya masih percaya gabungan sedemikian boleh berlaku, insya-Allah,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri fesyen tempatan tanah air.

Tom - atau nama penuhnya Dayang Fatimah Tom Abang Saufi - ditemui pada sesi ramah mesra bersama media di BSN baru-baru ini.

Pada masa ini, BSN mengadakan tiga pameran karya seni oleh Anthony Chan Sai Weng yang berjudul From My World to Yours, Ali Nurazmal Yusoff's Last Man Standing dan Pameran Seni Islam Kontemporari At-Tayyibah oleh kumpulan Tajdid.

Untuk rekod, pelantikan Tom berkuatkuasa 1 Mei lalu untuk tempoh setahun.

Sebelum beliau, Wairah Marzuki adalah wanita pertama yang mengisi kerusi sebagai pengerusi LPSVN.

Bukan hanya ke galeri

Menurut Tom pelantikannya memberi kelebihan dan peluang untuk beliau mengubah sudut dinamik serta perspektif Balai Seni Negara (BSN).

“Jika sebelum ni pereka fesyen atau pelukis tempatan kebanyakannya bertumpu ke luar negara untuk mencari idea dan pengalaman visual, kali ni saya harap mereka dapat belajar di BSN melalui program silang budaya.

“Saya akan cuba ciptakan peluang dan pengkomersilan selepas keadaan Covid-19 reda dengan mengundang pereka atau artis antarabangsa datang ke sini agar kita sama-sama boleh berkongsi dan bertukar-tukar idea serta pendapat,” katanya.

Untuk penggiat industri yang tidak menjana pendapatan ketika Covid-19 masih mengancam, Tom, 67, berkata kaedah virtual atau secara maya amat membantu bagi menjual produk seni yang dihasilkan.

Katanya, kaedah itu turut membantu BSN kekal relevan sepanjang tempoh pasca-Covid-19.

“Menyaksikan dan membeli karya bukan saja dengan datang ke galeri tapi boleh dibuat secara dalam talian.

“Ini membolehkan masyarakat umum terus menghargai karya-karya seni yang terdapat di galeri tanpa perlu berkunjung ke sini,” katanya.

Tom juga berkata, diberi kepercayaan untuk menggalas jawatan tersebut ketika ini boleh disifatkan suatu cabaran selain ruang dan peluang untuk menambah baik serta meningkatkan kemudahan terdapat di BSN.

Katanya, beliau juga cuba memberi sentuhan feminin pada BSN agar pengunjung dan pembeli selesa.

“Sekarang adalah masa untuk perbaiki galeri sebab belum ramai orang datang berkunjung. Kita akan cuba mengubah BSN supaya menjadi galeri bertaraf antarabangsa.

“Selain itu, kemudahan surau dan kafe akan diperbaharui agar pengunjung tidak serik datang ke sini lagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS