Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Covid-19 tak halang runner loncat bidang jadi penerbit filem

Enggan melepas peluang, Mohd Hafizzudin Zakaria sanggup mengambil risiko untuk menggalas tanggungjawab sebagai penerbit baru walaupun ketika wabak Covid-19 masih mengancam.

Katanya, dia sudah lama berdepan cabaran lain sebelum Covid-19 muncul apabila sanggup menjadi seorang jurugegas (runner) kepada sebuah syarikat produksi kira-kira empat tahun lalu.

Justeru, baginya, hasrat itu seakan-akan sudah tidak dapat ditangguh lagi walaupun negara masih belum boleh diumumkan bebas daripada pandemik berkenaan.

“Saya memang minat dengan kerja-kerja produksi drama serta filem dan itu sebab saya ambil langkah kecil dulu dengan menjadi runner.

“Saya babitkan diri dalam empat telefilem sebagai runner, bila ada keyakinan diri baru saya berani untuk melebarkan saya sebagai penerbit,” katanya.

Mohd Hafizzudin juga yakin pengalaman julung kali menjadi penerbit telefilem ketika wabak Covid-19 masih berlanjutan tidak akan menjejaskan semangatnya untuk menghasilkan sebuah karya terbaik.

Justeru, katanya, dia bersyukur apabila diberi peluang oleh badan penyiar seperti Radio Televisyen Malaysia untuk menghasilkan naskhah berjudul Rock Sampai Jannah sempena sambutan Aidiladha tahun depan.

Semua persediaan sudah dibuat

“Insya-Allah kami boleh buat. Sewaktu pitching kami juga sudah dimaklumkan mereka ada jalan penyelesaian sekiranya Covid-19 belum berakhir,” katanya.

Rock Sampai Jannah berkisahkan empat orang remaja yang meminati bidang muzik dan menanam impian untuk membentuk sebuah kumpulan rock.

Namun, keluarga keempat-empat mereka tidak bersetuju kerana masing-masing masih lagi bersekolah. Pada masa sama, mereka juga sering kalah dalam setiap pertandingan nyanyian yang disertai.

Telefilem berkenaan dijayakan barisan pelakon seperti Afiq Syazwan, Sharul Kamal, Ayie Floor88 dan Hareez Mohamad Suhaile.

Menurut Mohd Hafizzudin keyakinan untuk menerbitkan telefilem pertamanya itu bermula selepas mendapat dorongan rakannya, seorang penerbit drama iaitu Jaja Ishak.

“Alhamdulillah, dia banyak membantu saya sebagai pembimbing untuk produk pertama. Rasa seronok dan teruja serta tak risau kerana sudah ada pengalaman terbabit dalam penggambaran telefilem sebelum ni.

“Sebagai seorang penerbit baru, saya anggap kekangan Covid-19 satu cabaran yang boleh ditempuhi.

“Semua persediaan telah dibuat, terutama sekali untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS