Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Apa saja YB tunjuk jadi contoh teladan buat anak cucu, pesan Bront
Diterbitkan:  Jul 15, 2020 10:56 PM
Dikemaskini: 2:56 PM

Pelakon dan penerbit filem Bront Palare mengingatkan ahli parlimen bahawa tingkah laku mereka di Dewan Rakyat bukan sahaja disaksikan masyarakat dunia, malah akan menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas sidang Dewan Rakyat menyaksikan berlaku kekecohan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen gara-gara kenyataan "gelap, pakai bedak."

"Bapak menteri dan Yang Berhormat (YB) sekalian. Mohon beringat, sekarang dunia Internet.

"Apa saja yang anda tunjukkan dalam sesi Parlimen, bukan saja menjadi contoh dan teladan buat anak cucu.

"Malah juga ditonton oleh warga dunia yang lain," ciapnya di Twitter hari ini.

Setakat semakan Malaysiakini ketika laporan ini ditulis, bebenang Twitter itu mendapat hampir 10,000 ulang ciap dan hampir 10,000 komen.

Pada 13 Julai lalu, Dewan Rakyat menjadi kecoh selepas Abdul Azeez Abdul Rahman (PN-Baling) mencelah dengan berkata "gelap, tak nampak" semasa Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) sedang berbahas.

Bagaimanapun, Kasthuri pada awal tidak menyedari kenyataan dibuat dan terus berbahas hingga RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun dan meminta Abdul Azeez menarik balik kata- katanya.

Hal itu menyebabkan Abdul Azeez bangun dan memberi penjelasan.

“Saya juga gelap, takkan gelap nak jadi isu.

"Saya tidak menyatakan bahawa beliau atau YB ini gelap. Saya pun gelap, pakailah bedak,” katanya susulan bantahan dari beberapa anggota parlimen pembangkang, yang turut menggesa beliau menarik balik kenyataannya.

Kasthuri kemudian memetik Peraturan Mesyuarat 36 yang menyatakan tidak wajar untuk anggota Dewan Rakyat menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan atau membuat komen bernada seksis.

Bront berkata, kegagalan mengawal perbuatan tersebut akan menyebabkan imej agama dan bangsa terjejas.

"Imej-maruah agama, bangsa dan negara di tangan anda," ciapnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS