Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

“Jika penyanyi, ibarat tak ada piring hitam; kalau pemain bola, ibarat tak ada padang,” demikian kata penerima Anugerah Tokoh Kartunis 2020, Ahmad Hilmy Abdullah, mengenai kesukaran untuk mencari medan berkarya ketika ini.

Namun, menurut Ahmad Hilmy atau lebih dikenali sebagai Mie, alasan bidang itu yang semakin malap dan kurang sambutan sedikit pun tidak membantutkan usahanya untuk terus berkarya.

Katanya, meskipun industri majalah dan komik bercetak semakin malap kartunis masih berpeluang untuk memaparkan karya mereka melalui saluran media sosial ekoran perkembangan platform itu yang semakin pesat.

“Saya pernah hasilkan karya untuk siaran akhbar, tapi selepas ia ditutup, tak ada orang mahu bayar lagi. Saya tak putus asa tapi memilih untuk menempatkan ia secara dalam talian,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Hilmy yang juga arkitek itu berkata, dia memilih medium seperti Facebook untuk menempatkan karya-karya yang dibuatnya sebelum membukukan koleksi tersebut.

“Idea pertama, lukis dan muat naik di media sosial dulu. Kemudian hasil daripada lukisan tersebut dikumpulkan dan dibuat koleksi untuk penerbitan dan jualan buku dalam talian.

“Kedua, menghasilkan ilustrasi untuk saluran YouTube dan Instagram.

“Ini semua sebagai batu loncatan kerana apabila lukisan kartun itu mencapai satu taraf iaitu diterima sebagai popular, kita boleh menjana wang melalui hasil siaran tersebut,” katanya.

Perkembangan dunia digital dan Internet sekitar tahun 2000 menyebabkan industri komik, bahan bacaan ringan, majalah hiburan dan ruang kartun di akhbar semakin terhad.

Beberapa syarikat komik juga terpaksa gulung tikar, mengakibatkan bidang itu yang pernah menjadi suatu fenomena dulu kini berdepan kegelapan manakala kartunis pula hilang punca pendapatan.

Menurut Ahmad Hilmy, disebabkan tidak tertumpu pada satu saluran untuk mempromosi karya, seseorang kartunis munkin mempunyai peluang lebih cerah untuk mencari mata pencarian.

“Penghasilan lukisan kartun bukan untuk penerbitan dalam majalah semata-mata. Lukisan saya pernah digunakan untuk iklan tin susu di Johor tiga tahun lalu.

“Saya selalu terfikir macam mana tauke susu boleh cari saya? Mungkin dia melihat karya-karya saya yang berada di media sosial. Kita kena bijak cari saluran dan pasarkan.

“Ada juga beberapa rakan kartunis yang melukis dan muat naik di Facebook, kemudian ada pihak menawarkan pekerjaan untuk jadi pelukis grafik di syarikat mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS