Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Depp beri penjelasan mengapa beri ganja pada anak
Diterbitkan:  Jul 9, 2020 3:55 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Pelakon terkenal Hollywood, Johnny Depp, tampil mendedahkan punca mengapa dia pernah memberikan ganja kepada Lily-Rose sewaktu anak perempuannya itu berusia 13 tahun.

Depp mendakwa, perbuatan tersebut adalah salah satu cara “asuhan bertanggungjawab" yang dilakukannya.

Pendedahan tersebut dibuat sewaktu perbicaraan kes saman aktor terbabit terhadap News Group Newspaper selepas akhbar The Sun UK melabelnya sebagai "kaki pukul bini" dalam artikel disiarkan pada 2018.

Saman itu dikemukakan apabila The Sun menyiarkan laporan mendakwa pelakon filem Edward Scissorhands terbabit mendera bekas isterinya, Amber Heard.

Depp menafikan setiap tuduhan itu.

Dalam keterangannya, Depp yang turut membintangi filem From Hell itu mendakwa, dia memberikan ganja kepada Lily-Rose untuk mewujudkan suasana selamat di antara anak perempuannya itu dengan dadah ketika dia menginjak usia remaja.

“Saya tak pernah mendorong puteri saya untuk menggunakan ganja, tapi saya tak mahu anak saya mencuba bahan terlarang itu di luar tanpa pengetahuan saya.” katanya membela diri.

Depp juga mendakwa, Lily-Rose - kini berusia 21 tahun - pernah meminta izin untuk berparti sewaktu dia berusia lebih muda.

Jangan suka dulu

“Dia baru berusia 12 tahun dan dia mengaku tak tahu apa perlu dilakukan. Saya berkata: Sayang, jika kamu berada dalam majlis parti dan seseorang memberikan kamu ganja, ambil dan berikan ia kepada orang lain.

“Jangan bereksperimen dengan dadah bersama orang yang kamu tak kenali,” katanya.

Pada masa sama, Depp mengaku dia khuatir jika anaknya itu diberikan ganja tetapi sudah dicampur dengan bahan terlarang lain yang lebih berbahaya.

Justeru, Depp berkata, atas alasan itulah dia memberikan ganja kepada Lily-Rose kerana dengan cara itu dia boleh mengawasi anaknya dengan lebih baik.

Depp dan Amber

Depp, 57, turut mengucapkan penghargaan buat Elton John kerana berada di sisi dan membantunya menempuhi saat-saat sukar apabila berpisah dengan teman wanita, Vanessa Paradis, selepas 14 tahun bersama.

Selain Lily-Rose, hasil perkongsian hidup Depp dengan Amber mereka turut memiliki seorang lagi anak, John Christopher Depp III, 18 tahun.

Untuk rekod, selain Amber, Depp pernah mengahwini Lori Allison pada 1983 tetapi bercerai dua tahun kemudian.

Sementara itu, dalam perbualan e-mel dinyatakan sewaktu perbicaraan, Lily-Rose memberitahu Depp mengenai pengalaman pertamanya mencuba ganja dengan ayahnya.

“Saya suka ganja,” tulisnya.

Depp kemudian membalas: “Jangan terlalu menyukainya terlebih dulu. Saya bangga denganmu kerana bertanggungjawab.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS