Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sajat terharu dapat 32 juta capaian tontonan di laman sosial
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 6:07 PM
Dikemaskini: Mar 3, 2021 3:26 AM

Meskipun dihimpit pelbagai pihak yang mahu tindakan diambil terhadapnya, usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman seolah-olah tidak terkesan dengan apa yang berlaku.

Nur Sajat malah menunjuk-nunjuk jumlah ‘pelawat’ yang kononnya tidak pernah jemu mengikuti perkembangan kehidupannya di Instagram.

“Terima kasih kepada mereka yang selalu lawat Instagram Sajat. Terharu sangat-sangat 32 juta melihat Sajat di ruangan media sosial.

“Dari dulu lagi memang ramai suka tengok Instagram Sajat dari segi perniagaan, yang memaparkan dari sudut perniagaan, kehidupan sosial, keluarga, rutin harian, maklumat terkini dan macam-macam lagi.

“Saya juga membantu mereka yang ingin menggunakan saya untuk mengulas produk perniagaan yang menjadi permintaan atau gaya sekarang,” katanya.

Capaian sebanyak 32 juta dimaksudkan Nur Sajat itu sebenarnya adalah jumlah impressions atautotal post yang sudah dilihat di Instagram miliknya.

Penyanyi lagu Makhluk Penggoda itu juga berkata, dia bukanlah seorang yang jahat kerana berkongsikan pelbagai perkara yang mengundang kritikan di media sosial.

“Ya, saya suka berfesyen OOTD (Outfit of the day) dan beraksi secara spontan dan bersahaja. Tak bermakna saya jahat sayang. Saya cuma nakal dan manja saja,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bekas peserta Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri al-Yahya menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan PAS segera bertindak ke atas Nur Sajat yang disifatkannya boleh merosakkan akidah umat Islam.

Untuk rekod, sebelum wujudnya kerajaan PN, PAS dan Umno banyak mendesak PH bertindak segera dengan menangani hal-hal yang mencabar kedaulatan agama Islam khususnya yang mempromosikan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) secara terbuka.

Syed Bakri - yang sebelum ini banyak melontarkan kritikan terhadap cara pemerintahan Pakatan Harapan - mengeluarkan kenyataan sedemikian bertujuan melihat PN dan PAS membuktikan kali ini mereka benar-benar bertegas memerangi isu berkenaan.

Bagaimanapun, Nur Sajat berkata, dia tetap menerima setiap teguran yang dibuat ke atasnya selain mendakwa apa dimuat naik di Internet adalah bertujuan mencari rezeki yang halal.

“Terima kasih semua yang menegur cara baik, saya mengambil iktibar, yang menegur cara kasar, saya berdiam diri saja.

“Saya bukan membuat perkerjaan yang haram atau salah di sisi undang-undang,saya berniaga mencari rezeki yang halal,” katanya.

“Mungkin awak melihat saya di Instagram nampak sesuatu, tapi saya sebenarnya baik dan tak sombong, saya mudah dibawa berbincang dan peramah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS