Jika dulu kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa “mesra” LGBT, kini peserta Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri al-Yahya menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) benar-benar bertegas memerangi isu berkenaan.
Menurut Syed, pemimpin PAS, menteri dan pegawai agama PN khususnya wajar mengambil tindakan segera ke atas Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang disifatkan semakin berani berpakaian bikini di media sosial.
"Teringat waktu pemerintahan PH bekas menteri agama Mujahid Yusof Rawa, bila dia mesra LGBT, kita kecam beliau tak tegas. Sekarang diharap menteri PN bertanggungjawab perjelas isu umat Islam.
“Kalau zaman PH kita kata menteri tak perform dan sebagainya, kita harap PN, sekarang menterinya melaksanakan tugas, pegawainya melaksanakan tugas, jabatan agamanya bertanggungjawab ambil tindakan.
“Tolong sampaikan kepada menteri berkenaan dan PAS contohnya, apa kita perlu buat, atau apa pendirian badan bukan kerajaan untuk cegah kemungkaran yang berlaku depan mata,” katanya di media sosial hari ini.
Syed atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Mohd Ishak mengeluarkan kenyataan demikian susulan perkongsian dibuat Nur Sajat melalui Instagaram miliknya baru-baru ini.
Penyanyi lagu Makhluk Penggoda terbabit memuat naik imej dia memakai bikini hingga mengundang polemik di media sosial ketika ini.
Nama Nur Sajat mengundang kontroversi pada awal tahun ini selepas dia tampil berpakaian seperti wanita ketika berada di Tanah Suci.
Mengulas lanjut, Syed berkata, sekiranya dibiarkan berleluasa, perbuatan Nur Sajat dikhuatiri menjadi antara punca kerosakan akidah umat Islam.
Syed juga menyifatkan perbuatan Nur Sajat yang menyerupai wanita lebih buruk kesannnya berbanding wabak Covid-19.
“Sajat lebih bahaya dari Covid-19. Wabak tu boleh mengancam nyawa manusia, tapi Sajat memporak-perandakan hukum Allah SWT.
“Dia rosakkan akhlak umat Islam disebabkan perkara luar tabii dilakukannya. Justeru, sejauh mana tindakan pihak berkuasa kepada Sajat untuk menyedarkan dia dan golongannya.
“Saya berharap sangat kerajaan khususnya yang ada kuasa untuk cegah pakai tangan, yakni kekuasaan. Adakah kita nak cerita pasal Covid-19 tak habis-habis? Sedangkan perbuatan Sajat dan sekutunya semakin berleluasa,” katanya.