Pengarah dan penerbit filem terkenal Yusof Haslam sekali lagi dilantik untuk menjadi ahli Panel Perundingan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pelantikannya itu, bersama-sama sebelas yang lain, berkuat-kuasa 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2022.
Meskipun datang dari latar belakang perfileman, Yusof berkata pelantikannya itu adalah untuk membantu menangani rasuah dalam semua bidang.
“Terima kasih di atas pelantikan ni dan pihak yang telah memberi kepercayaan kepada saya.
“Saya dilantik bukan khusus untuk pantau bidang perfileman semata-mata, tapi merangkumi semua bidang secara umum,” katanya kepada Malaysiakini.
Ini bukanlah kali pertama buat penerbit drama siri kepolisan Gerak Khas itu dilantik mengaggotai lembaga penasihat itu. Yusof pernah menganggotai PPPR pada 15 Ogos 2016 hingga 14 Ogos 2017.
"Sebelum ini di bawah Najib Razak sebagai perdana menteri, tetapi sekarang dengan Muhyiddin Yassin," kata pengarah filem Tragedi Oktober itu.
Diminta mengulas tentang harapannya dari segi penambahbaikan untuk SPRM, Yusof hanya menjawab ringkas kerana mesyuarat belum diadakan setakat ini.
“Pelantikan ahli badan bebas dibuat agar agensi ini dapat mempamerkan ketelusan dan integriti dalam menjalankan operasi.
“Tapi kami belum bermesyuarat. Dalam mesyuarat nanti akan dibincang tentang perkara yang boleh memberi manfaat untuk kebaikan bersama," katanya yang menjangka mereka akan mengadakan pertemuan sebulan sekali.
SPRM hari ini mengumumkan 24 ahli badan bebas. Selain 12 ahli PPPR, turut dilantik adalah tujuh ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan lima ahli Panel Penilaian Operasi, melibatkan mereka daripada pelbagai bidang.