Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azlan Typewriter 'telaah' ratusan kali lirik Kelabu

Azlan Typewriter mengakui dia menghayati lirik lagu Kelabu ratusan kali sebelum menyatakan persetujuan untuk berkolaborasi dengan penyanyi dan komposer muda, YonnyBoii.

Kata penyanyi dan komposer berkenaan, dalam tempoh enam bulan itu, dia cuba membuka hatinya perlahan-lahan agar dapat menerima karya dihasilkan apatah lagi beranggapan liriknya disusun dengan begitu kemas.

“Dalam masa enam bulan tu, saya cuba memahami hingga beratus-ratus kali apa sebenarnya yang hendak disampaikan sebelum bersetuju dan kemudian teruskan dengan proses merakam.

“Saya cuba kaji idea daripada generasi lebih muda sepertinya. Walaupun jauh jarak usia kami berdua, saya cuba buka hati perlahan-lahan untuk terima karya berkenaan.

“Saya dapati liriknya menambat hati. Jika saya cikgu bahasa Melayu, pasti bagi A untuk lirik dihasilkannya itu,” katanya.

Azlan atau nama penuhnya Nor Azlan Rosle ditemui pada majlis pelancaran single Kelabu di ibu pejabat Universal Music Malaysia, Menara Symphony, Petaling Jaya semalam.

Ini adalah kali pertama Azlan, 38, berduet dengan YonnyBoii - yang juga Budak Baru Nak Up (BBNU) - melalui karya berentak balada. Muzik Kelabu disusun semula oleh Azlan manakala lirik dan komposer oleh YonnyBoii.

Lagu berkenaan pernah tular pada Oktober 2019 selepas demo dinyanyikan sendiri YonnyBoii, 22, bocor di alam maya.

Ditanya mengapa bersikap selektif, Azlan menjelaskan, dia bukan seorang yang suka berkompromi dengan hasil kerjanya.

“Kita perlu jadi selektif dengan siapa kita kerja hasil kerja tak terjejas. Kita berkarya untuk jangka masa panjang. Sebenarnya saya pernah ambil masa lebih lama dari enam bulan sebelum nyatakan persetujuan.

“Dan antara sebab saya terima gabungan ni adalah untuk belajar perkara baru seperti kecenderungan generasi kini yang lebih suka menghayati lirik,” katanya yang menyiapkan proses rakaman lagu itu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan lalu.

Penyanyi Kukuh itu berkata, sekiranya penulisan lirik berkualiti disusuli lagu yang mempunyai nilai komersial boleh dihasilkan, dia yakin ia dapat melahirkan lebih banyak produk tempatan yang bagus.

Justeru, menurutnya, adalah penting untuk setiap pemuzik dan pengkarya tempatan bekerjasama bagi menghasilkan lirik dan lagu yang mampu memartabatkan nama Malaysia di persada dunia.

“Jika tengok di seluruh dunia, industri muzik mereka ambil berat fasal lirik. Negara kita juga kembali ke arah itu sekarang. Bila lirik positif, lagu akan beri impak besar kepada pendengar.

“Bila ada satu kombinasi lirik dan lagu yang bagus berlaku, pada masa tu mungkin muzik negara kita akan dipandang di seluruh dunia.

“Kita kena cuba tunjukkan walaupun kita kecil, tapi boleh hasilkan lagu hebat berbanding negara besar cuma kita perlu bersatu-padu dalam hal ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS