Seseorang kartunis wajar menghasilkan lakaran kartun secara beretika agar teguran boleh disampaikan secara lembut dan berkesan, kata penerima Anugerah Tokoh Kartunis 2020, Ahmad Hilmy Abdullah.
Ahmad Hilmy atau Mie juga berkata, seseorang kartunis tidak sepatutnya menghasilkan karya yang boleh menyinggung perasaan.
"Mesej patut disampaikan secara tak langsung dan tak patut sakitkan hati sesiapa.
"Seseorang kartunis perlu ada etika, tapi sesetengah orang langgar saja, khususnya kartunis yang tak berapa mahir dalam berkarya, mereka ni biasanya orang baru.
"Sebenarnya cara lebih lembut adalah lagi berkesan, bukan terus tuju nama si polan," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Ahmad Hilmy, untuk menyampaikan mesej berkaitan bahaya Covid-19 misalnya, beliau lebih gemar menyelitkan mesej berbaur sinikal di sebalik humor dalam kartun.
“Kadang-kadang ada orang pandang enteng nasihat kerajaan supaya mematuhi penjarakan sosial, justeru dalam kartun saya lukis si isteri hulur air kopi pakai raket badminton dan orang tengok akan gelak.
“Bagi saya, itulah antara jenaka berunsur sinikal, cara memberi teguran yang tak dibuat secara langsung,” katanya.
Ahmad Hilmy ditemui selepas majlis perasmian Pameran Kartun: Kartunis vs Covid-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, semalam.
Lebih 100 keping lakaran kartun dipamerkan berkaitan pandemik Covid-19. Ia dihasilkan kartunis dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Pameran bertujuan menghargai kartunis yang turut sama berperanan membantu menyampaikan maklumat selain menghiburkan rakyat yang terkurung sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Untuk rekod, Ahmad Hilmy dianugerahkan Tokoh Kartunis 2020 pada 1 April lalu berdasarkan sumbangan dan kecemerlangan beliau dalam bidang kartun dan komik negara.
Mengulas penerimaan anugerah berkenaan, Ahmad Hilmy berkata, beliau tidak pernah memasang harapan untuk menerima pengiktirafan sedemikian.
Beliau yang juga arkitek itu mengakui, minatnya untuk melukis hanya sekadar suka-suka, dan bukan dilakukan untuk mengaut keuntungan.
“Saya hasilkan kartun bukan berharap untuk peroleh anugerah. Tapi saya bersyukur kerana ia beri semangat untuk terus berkarya selagi hayat di kandung badan.
“Antara sebab dijadikan ikon adalah di usia begini, saya masih aktif berkarya selain membabitkan diri dalam acara berkaitan kartun dan komik.
“Selain tu, saya juga kerap memberi ceramah di sekolah-sekolah dan universiti berkaitan kerjaya, seperti macam mana nak bahagikan masa antara nak melukis, bila nak jadi arkitek dan bila masa nak jadi orang,” katanya.