Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
FDAM terjah lokasi penggambaran pantau pematuhan SOP
Diterbitkan:  Jun 24, 2020 9:10 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mengunjungi tiga lokasi penggambaran drama sekitar Selangor sebagai langkah memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penggambaran diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Mat London berkata, walaupun skop FDAM lebih kepada menguruskan hal ehwal berkaitan kerja pengarahan filem, persatuan itu masih prihatin dengan aspek kebajikan semua pelakon dan kru yang lain.

“FDAM mendahului persatuan lain dalam menyantuni peluang penggiat industri kreatif kembali beraksi di lapangan.

“Suasana harmoni mematuhi SOP harus diwujudkan sepanjang aktiviti penggambaran,” katanya.

Bahkan Ahmad menjelaskan, ada antara lokasi itu dikunjungi FDAM tanpa dimaklumkan terlebih dulu kepada pihak produksi.

“Ada yang dimaklumkan, ada juga yang terjah,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain Ahmad, turut turun memantau SOP di Selangor adalah timbalannya, Zaki Abdul Rahim, Ketua Sekretariat Zaini Hassan, Ketua Biro Kebajikan Ahmad Hashim, Ketua Biro Antarabangsa Sofia Rhyland dan Ketua Biro Penguat Kuasa Zulkifli M Osman.

Penggiat seni dibenarkan menjalani aktiviti penggambaran oleh MKN bermula 10 Jun lalu.

Lokasi pertama dilawati FDAM adalah Elmina East, Shah Alam yang menjalani penggambaran drama 10 episod Kebaya Kasut Kanvas terbitan Orangetree Production, arahan Pyan Screw.

Bagi lokasi kedua, sesi diteruskan ke kampung Bukit Cerakah, Jeram, Ijok di Kuala Selangor bagi penggambaran drama 26 episod Bidadari Kiriman Tuhan terbitan Opera Klasik diarahkan oleh Rashid Sibir.

Terakhir, juga di kampung sama, lawatan dibuat bagi penggambaran drama 26 episod Keluarga Pasar terbitan ZGB Media Sdn Bhd yang diarahkan Azmi Hatta.

Menurut Ahmad, dalam sesi taklimat beliau mengingatkan semua kru dan artis terbabit supaya bersyukur kerana dapat bekerja semula setelah hampir tiga bulan aktiviti penggambaran dilarang sama sekali disebabkan ancaman virus Covid-19.

“SOP yang diwartakan hendaklah dipatuhi sepenuhnya tanpa pelanggaran untuk menunjukkan penggiat industri bersedia mendokongi dan memandang serius setiap peraturan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Rekod deklarasi butiran diri, pemeriksaan suhu, pemakaian litup mulut, pelindung muka, cecair pembasmi kuman, pek makanan dan penjarakan sosial adalah antara amalan yang harus dibiasakan.

“Jurusolek misalnya hendaklah menggunakan topeng pelindung muka serta alat solek atau berus berbeza untuk setiap artis, pakaian hendaklah dibasuh selepas digunakan dan kru hendaklah sentiasa membasuh tangan saban waktu khususnya pada ketika mengendalikan alatan teknikal,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS