Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
S Pavithra jadi 'model': Dia simbol perpaduan, kata majalah

Nampaknya, kebolehan Youtuber S Pavithra bukan cuma memasak.

Malah gambarnya bergaya seperti model untuk hiasan kulit sebuah majalah gaya hidup mencuri perhatian warga maya.

Gambar personaliti Youtube yang terkenal dengan video masakan itu menjadi tular selepas dimuat naik ke Internet oleh jurusolek Razzi Musa.

Malah gambar pertama Pavithra memakai baju hitam disukai lebih 21,000 kali di Instragam.

Komen-komen orang ramai pula kebanyakan memuji kecantikan suri rumah dua anak yang tinggal di sebuah estet Sungai Siput, Perak, bersama suaminya M Sugu, 29.

Sesi itu sebenarnya dijalankan untuk menghasilkan gambar muka depan Pepatung.

Majalah itu ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan mereka memilih Pavithra kerana Youtuber itu ialah simbol perpaduan rakyat Malaysia.

“Pemilihan S Pavithra sebenarnya lebih kepada apresiasi kami sebagai rakyat Malaysia yang melihat dia sebagai simbol perpaduan semasa.

“Kita nak hasilkan pengalaman yang manis untuk S Pavithra sebab kita faham pendedahan media ini semua benda baru untuk mereka.

“Alhamdulillah Pavithra happy dengan transformasi (yang kami lakukan),” kata pihak majalah yang disiarkan sejak 2014.

Menurut jurucakap Pepatung, masa yang diperuntukan dari mula sesi perbincangan hingga penggambaran memakan masa lebih kurang dua minggu.

“Idea dan konsep ini hasil perbincangan dengan jurugambar, penggaya dan jurusolek.

“Kami ambil konsep moden tetapi ada juga (penggunaan tradisional) sari. Kita tukar make up dan gaya rambut,” katanya lagi.

Pavithra, 28, mencuri perhatian rakyat Malaysia susulan kemahiran memasak, kefasihannya menggunakan bahasa Melayu, kebersihan rumah dan dapurnya, serta sifat rendah diri dan sopan santunnya.

Bakatnya turut mendapat perhatian Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (bawah) yang menghadiahkannya kelengkapan memasak serta tripod untuk memudahkannya merakam video.

Pavithra berasal dari Buntong di Ipoh.

Setakat laporan ini ditulus, salurannya di Youtube yang bermula Januari lalu kini dilanggan oleh lebih 700,000 orang dan video-videonya pula ditonton lebih 28 juta kali.

Rakannya yang juga merupakan seorang Youtuber antara individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Pavithra ke dunia laman perkongsian video tersebut.

Menurut beberapa laporan media, Pavithra difahamkan hanya menggunakan cawan sebagai tripod.

Telefon bimbit yang digunakan untuk merekodkan segala aksinya turut difahamkan dibeli secara hutang.

Meskipun Pavithra berbangsa India, dia memilih untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi dalam perkongsian videonya dengan harapan dapat difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS