Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | A good artist, but unwritten by critics and art historians - Jaafar Ismail, Fergana Art.

Kamarudin Kamali datang ke dunia seni lukis secara tiba-tiba.

Setelah bersara dari dunia korporat beliau mengambil bidag seni lukis sebagai jalan untuk merehatkan diri daripada kekalutan kehidupan sebelumnya.

Beliau melakukan sesuatu yang boleh dianggap mustahil apabila hasil kerjanya dengan segera mendapat perhatian pengemar seni catan dari dalam dan luar negara.

Tidak mudah untuk seorang seniman membina nama dalam masa yang singkat, namun Kamarudin dengan bersahaja - dan bergaya - masuk ke kelompok seniman dengan penuh keyakinan.

Karya-karya Kamarudin menjadi bualan dan rebutan. Sebelum sempat berada di puncak yang lebih tinggi, beliau kembali kepada Yang Maha Pencipta.

Seperti kebanyakan seniman yang teguh dalam beragama, Kamarudin mengambil jalan ‘selamat’ dengan menghasilkan karya-karya abstrak. Siri Topeng adalah antara karya terbaik yang beliau hasilkan.

Kamarudin memilih cat minyak sebagai bahan. Jika melihat pelukis itu berkerja, kita akan dapati bahawa beliau seorang yang sangat gembira dan mencintai apa yang dilakukannya.

Warna-warna yang beliau palitkan pada kanvas seolah-olah mengalir dengan lembut dan saling tidak mengganggu. Masing-masing tahu tempatnya walaupun kadang-kadang ada ketulan-ketulan warna yang tiba-tiba muncul, namun semuanya harmonis memberikan hak.

Melihat Kamarudin berkarya juga sesuatu yang menyeronokan. Beliau akan menari-nari dan sentiasa tersenyum sambil berjenaka. Senyuman dan jenaka adalah sifat yang membuatkan beliau dikasihi oleh semua kenalan.

Jadi panduan ke kanvas

Berita pulangnya Kamarudin kepada rahmat Allah adalah mengejutkan kerana - walaupun umum sedia maklum beliau sedang melawan kanser - pada akhir sebelum kewafatan, pelukis itu dilihat kembali pulih.

Sewaktu kami berziarah awal Disember lalu, beliau kelihatan amat bertenaga dan begitu bersemangat untuk kembali aktif menghasilkan karya.

Dipertontonkanya kepada kami sekian banyak sketsa yang beliau hasilkan selama dalam proses kembali sihat. Beliau juga tidak berhenti-henti bercakap mengenai kebesaran Tuhan, sesuatu yang tidak lekang dari mulutnya selama kami mengenali beliau.

Kecintaan Kamarudin kepada agama tentu saja melebihi sayangnya beliau kepada dunia catan. Memang semua karya Kamarudin berkiblatkan cinta utama beliau iaitu membesarkan Tuhan seperti mana yang ditunjuk oleh nabi junjungan yang mulia.

Terdapat berpuluh-puluh lakaran yang beliau hasilkan dan dijadikan panduan menghasilkan karya di kanvas.

Proses ini memang menjadi amalan Kamarudin sejak lama namun - seperti kebanyakan seniman lain - apa yang dilakar tidak semestinya sama dengan apa yang disalurkan ke kanvas.

Kerana itu juga, sketsa-sketsa yang Kamarudin hasilkan berupaya untuk berdiri sendiri sebagai sebuah karya.

Selama hampir 10 tahun berkarya, Kamarudin banyak menyertai pameran namun beliau tidak berkesempatan mengadakan pameran solo.

Mungkin ada pihak yang boleh mengusahakan pameran sebegitu untuk beliau sebagai ucapan selamat jalan buat semua rakan dan pengemar karya-karyanya.

Pemergian Kamarudin sangat memberi kesan kepada kami secara peribadi. Kami kehilangan seorang sahabat yang sentiasa memberi nasihat yang baik dan pesanan-pesanan agama yang bermanafaat.

Semoga Tuhan yang Maha Besar memberikan segala rahmat dijanjikan-Nya kepada mereka yang beriman seperti Kamarudin.

Juga semoga Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang reda ke atas beliau. Semoga Tuhan pemilik segala kesenangan menempatkan beliau di syurga paling tinggi.

Selamat jalan Haji Kamarudin. I love you.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS