Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sukar buat penggambaran, 'Pok Ya Cong Codei' pilih jual durian
Diterbitkan:  Jun 17, 2020 4:10 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Selepas hampir 60 tahun, kata Sabri Yunus, baru hari inilah dia menempa sejarah kerana mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan yang tiada kaitan dengan dunia seni persembahan.

Hal itu kerana pengarah dan pelakon disegani itu sekarang menjual durian.

Menurut Sabri, 59, dia mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam perniagaan menjual durian disebabkan belum tahu bila waktu sesuai untuk memulakan kembali kegiatan yang sebati dengan dirinya - seni.

“Pilih, pilih, pilih. Bayar, bayar, bayar.

“Dah masuk 59 tahun baru nak belajar berniaga mulai hari ni. Penggambaran belum tahu bila boleh mula,” katanya.

Alasan Sabri, mudah. Katanya prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) amat sukar untuk dituruti berbanding menjual durian yang disifatkannya lebih mudah.

“SOP sangat sukar, jual durian lebih mudah,” katanya.

Sabri turut mengiringi kenyataan itu dengan dua imej menunjukkan dia sedang sibuk menjalankan perniagaan menjual durian bersama beberapa orang rakan-rakannya.

Kata pengarah telefilem Pok Ya Cong Codei  itu lagi, buah durian yang dijualnya itu dibawa datang dari kampung di Batu Kurau, Perak.

“Durian Batu Kurau depan Dee Nasi Ayam Pandan Indah,” katanya.

Terdahulu, MKN membenarkan penggambaran filem dan drama kembali dibuat mulai 10 Jun lalu namun ia terikat kepada SOP yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Antara SOP itu ialah, syarikat produksi perlu menyediakan protokol tempat kerja yang meliputi pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan.

Syarikat produksi juga perlu melantik penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Sabri bagi mengulas lanjut perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS