Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pentas muzik tempatan terus sunyi diredam Covid-19

Banyak pentas dan dewan konsert kini sunyi di saat seluruh dunia menjalani perintah berkurung, sama ada secara penuh atau tidak, untuk mengekang wabak Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, jutaan peminat muzik beralih mengadap skrin masing-masing, dengan pemuzik mengadakan persembahan secara dalam talian.

Bagaimanapun bagi ramai orang, persembahan seumpama itu tidak dapat menggantikan persembahan secara langsung mahupun menyingkirkan rasa keterasingan akibat kawalan pergerakan. Ia termasuklah di Malaysia.

Di sekitar Kuala Lumpur, tempat-tempat persembahan muzik dan kesenian yang lain ditutup, tiada lagi bunyi sorakan dan tepukan apabila para pemuzik terpaksa menyimpan istrumen mereka.

Beberapa individu yang terlibat dalam industri muzik tempatan memberitahu Malaysiakini bahawa persembahan secara langsung kini tampak seolah-olah hanya satu ilusi.

Pada masa sama, mereka tetap bersedia terhadap sebarang perubahan dengan industri bakal berubah menuju ke arah kebiasaan baru pasca Covid-19.

"Ia pandangan yang lebih optimis. Tetapi andaian realistik adalah 18 bulan sehinggalah vaksin yang berkesan ditemui," kata Brian Gomez, pemilik Merdekarya, sebuah venue persembahan di Petaling Jaya.

Brian Gomez

Sebelum ini, Merdekarya dibuka bermula pukul tujuh petang setiap hari dengan perkhidmatan makanan mula beroperasi, dan persembahan di tingkat atas bermula dua jam kemudian.

Bagaimanapun, susulan Covid-19, ia terpaksa ditutup selama dua bulan sebelum dibuka semula pada pertengahan Mei dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Perintah kawalan pergerakan di Malaysia mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, bagaimanapun ia dilonggarkan sedikit demi sedikit apabila penularan mula menurun. Bermula 10 Jun lalu, perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) mula dikuatkuasakan.

Cuba operasi lebih lama

Sejak itu, hampir semua perniagaan kembali beroperasi dengan syarat mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Bagaimanapun sebarang bentuk perhimpunan awam, misalnya konsert, masih dilarang.

Pastinya ia bukan berita baik buat pemuzik dan pengendali acara. Gomez berkata persembahan secara langsung adalah sumber pendapatan terbesar buat pemuzik.

"Anda tidak buat duit daripada Spotify atau Youtube.

"Kebanyakan pemuzik bermula dengan bermain di tempat yang lebih kecil, seperti tempat kami, dan membina khalayak mereka. Segelintir mungkin diambil syarikat rakaman tetapi ia bukan jalan yang mapan, dan tidak semua orang bernasib baik," katanya yang juga seorang pemuzik.

Penutupan selama dua bulan bermakna Merdakarya tidak membuat sebarang hasil, yang menjadi cabaran yang pertama kali dihadapi Gomez.

Untuk mengatasinya, dia cuba membuka waktu operasi lebih lama dengan membekalkan perkhidmatan bawa pulang makanan, selain makan di sana secara terhad. Selain itu, Gomez turut meraih dana dengan menjual 999 botol tuak secara dalam talian.

Tetapi antara persoalan yang lebih besar untuknya ialah, adakah orang ramai akan membayar untuk menyaksikan persembahan dalam talian?

"Gig dalam talian adalah platform promosi yang baik tetapi tidak menjana pendapatan (dalam jangka panjang). Jelas orang ramai tidak ada kuasa berbelanja yang banyak dan ramai akan kehilangan kerja atau dipotong gaji.

"Mereka juga boleh menonton artis antarabangsa yang melakukannya secara percuma. Acara ini (persembahan dalam talian) tidak munasabah jika kita perlu melalui semua ini tanpa dapat sebarang keuntungan."

Persembahan di Merdekarya

Dia menunggu gambaran yang lebih jelas sebelum merangka strategi seterusnya.

Jika vaksin yang berkesan ditemui, keadaan akan kembali seperti sedia kala. Jika tidak, penjarakan sosial perlu diteruskan.

"Ada negara yang merancang mengadakan persembahan di mana setiap hadirin berjarak satu meter dengan yang lain. Saya tak tahu bagaimana tetapi orang ramai cuba menyesuaikan diri," katanya lagi.

Sama-sama berdepan kesukaran

Sementara itu, sebuah lagi tempat persembahan di Kota Damansara, Live Fact, kini dijadikan sebagai studio rakaman, latihan persembahan dan penggambaran.

Di sebalik strategi itu, pengendalinya memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tetap perlu menamatkan perkhidmatan pekerja separuh masa selepas dua bulan, memandangkan kekurangan pendapatan, termasuk daripada penjualan minuman. Persembahan terakhir yang dibuat di situ pada Februari lalu.

Bagaimanapun pemiliknya Shane Tan tampak bersedia dengan cabaran di depan. Dengan sedikit sumber daripada penaja, dia cuba menjadikan persembahan dalam talian sesuatu yang menguntungkan.

Justeru dia bekerjasama dengan pasukan pencahayaan dan bunyi serta syarikat penerbitan, yang sama-sama bergelut pada masa ini.

Shane Tan

"Kami sedang mencari jurutera bunyi yang mampu mengalihkan kesan bunyi ke dalam platform atas talian. Sebelum ini mereka mengendalikan kesan bunyi kepada khalayak yang hadir. Maka ini kemahiran yang berbeza," katanya.

Maklum bahawa kebanyakan persembahan dalam talian diadakan percuma, dia berkata sedang berusaha untuk menjadikannya lebih menguntungkan dengan menganjurkan persembahan secara lebih profesional.

"Ia memakan masa dan memenatkan, sama seperti acara secara langsung...Tetapi pendapatan yang diperoleh berkurang dengan drastik.

"Jadi kami merancang untuk menjadikannya lebih menguntungkan dengan memberikan kesan bunyi dan pencahayaan yang lebih profeisonal dalam jangka masa terdekat. Kami harap orang ramai sanggup membayar untuknya," katanya lagi, sambil menambah persembahan secara langsung akan menyaksikan "revolusi" jika wabak Covid-19 berlanjutan.

Persembahan secara langsung tidak dapat dipisahkan dalam arena muzik bebas, dengan pemuzik dan peminat berhubung secara dekat. Malangnya ia tidak boleh dilakukan di tengah-tengah wabak ini.

Seperti Gomez, Tan menjangka tiada persembahan secara langsung akan diadakan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun, atau malah mungkin lebih lama.

Pada masa sama, seluruh dunia sedang menerima teknologi tanpa kontak bagi membendung penularan wabak yang tak dapat dilihat.

"Jika kita tak dapat mengawalnya untuk lima atau sepuluh tahun, atau wabak ini kekal selama-lamanya...maka kita akan menyaksikan revolusi, budaya mendengar muzik akan berubah seluruhnya," katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS